AHLI Parlimen termuda, P Prabakaran,22, mahu mendidik generasi muda untuk celik politik dan tidak takut melibatkan diri dalam politik.
Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu juga mahu memperjuangkan kebebasan bersuara bagi anak muda terutamanya yang sedang menuntut di universiti.
“Sebelum saya sertai politik, objektif saya ialah untuk membuka mata anak-anak muda kita mengetahui hal politik.
“Sekarang pemuda-pemudi Malaysia sudah tahu tentang politik. Saya bangga mengenainya,” kata Prabakaran kepada media selepas ditemui dalam satu majlis kesyukuran di Taman Dato Senu, Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, anak muda terutamanya yang masih melanjutkan pelajaran di universiti perlu mengambil tahu isu-isu dalam negara.
“Saya akan memperjuangkan kebebasan bersuara (buat pelajar), juga warga di (Parlimen) Batu,” katanya yang telah menyertai PKR hari ini. Beliau juga telah menyerahkan borang keahlian kepada Tian Chua pada majlis yang dihadiri oleh ratusan penduduk.
Sementara itu, Prabakaran berkata beliau tidak akan menangguhkan pelajarannya kerana yakin mampu membahagikan masa sebagai pelajar dan ahli Parlimen.
“Saya tidak akan tangguh pelajaran. Ia mengenai bagaimana kita menguruskan masa,“katanya lagi.
Beliau memenangi kerusi parlimen Batu dengan majoriti 38,125 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang mendapat undi 13,687, calon PAS Azhar Yahya (10,610) dan calon Bebas Datuk V. M. Panjamothy (383).
Kerusi Batu menjadi panas apabila Tian Chua yang merupakan wakil rakyat kawasan itu selama dua penggal, dinafikan hak untuk bertanding buat kali ketiga kerana didenda RM2,000 selepas menghina seorang anggota polis.
Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang calon hilang kelayakan bertanding apabila dikenakan hukuman denda melebihi RM2,000. – 13 Mei, 2018.
Komen