TIADA salahnya perdana menteri menamakan kabinet sehinggalah komen daripada naib presiden PKR Rafizi Ramli, kata penganalisis politik.
“Keputusan Dr Mahathir Mohamad dibuat selepas mengambil kira senioriti pemimpin dari parti yang berbeza,” kata pengarah Ilham Centre Hisomuddin Bakar.
Dari pandangan rakyat Malaysia, tiada sebarang masalah sehinggalah kenyataan daripada Rafizi yang menyatakan PKR masih belum dirujuk berhubung pelantikan barisan kabinet.
Pada Sabtu, perdana menteri Dr Mahathir menamakan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri, presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.
Beliau turut mengumumkan jawatankuasa kecil penasihat untuk isu ekonomi yang terdiri daripada ahli perniagaan Robert Kuok, bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas presiden Petronas Mohad Hassan Merican dan bekas pembantu setiausaha agung pembangunan ekonomi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Dr Jomo Kwame Sundaram.
Hisomuddin berkata, kenyataan Rafizi boleh mengganggu proses pelantikan kabinet dan mengecewakan rakyat Malaysia yang mahu melihat kelancaran proses berkenaan.
“Lebih baik jika rasa tidak puas hati itu dibawa terus ke majlis Pakatan Harapan dan dibincangkan dahulu,” kata Hisomuddin.
Sementara itu, Dr Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, beliau tidak terkejut dengan dakwaan Rafizi bahawa partinya tidak dirujuk sebelum pelantikan kabinet diumumkan.
“Ingat PPSMI? Dr Mahathir memutuskan dasar itu tanpa konsensus atau pengesahan kolektif. Apa yang baharu?
“Saya rasa PKR terlalu percayakan Dr Mahathir. Rafizi terlalu baharu dalam politik,” katanya yang merupakan ketua jabatan pengajian etnik.
Ahli sains politik itu berkata, Dr Mahathir kembali kepada perwatakan lamanya dan akan mengulangi tingkah lakunya.
“Jadi, kita melihat Barisan Nasional 2.0, bukan Pakatan Harapan,” kata Shamsul Amri.
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, keputusan Dr Mahathir untuk menamakan kabinet dengan cepat adalah masuk akal.
“Beliau perlu namakan kabinet secepat mungkin untuk menstabilkn negara dengan pelantikan utama dan memandangkan Bersatu mempunyai kerusi sedikit dalam pakatan, beliau perlu seimbangkannya dengan melantik pemimpin dari setiap parti ke jawatan utama,” kata Tunku Mohar.
“Apa yang mengejutkan hanyalah Lim Guan Eng yang dilantik sebagai menteri kewangan.”
Pada pilihan raya umum yang tamat 9 Mei lalu, Bersatu memenangi 12 kerusi Parlimen manakala PKR, DAP dan Amanah masing-masing memenangi 49, 42 dan 10 kerusi. Dengan tambahan dua calon bebas menyertai PKR hari ini, parti itu kini mempunyai 51 ahli Parlimen.
Namun menurut pensyarah pengajian sains politik itu, masih terlalu awal untuk menyatakan Dr Mahathir kembali kepada cara lamanya atau Pakatan hanyalah BN 2.0.
“Saya tidak pasti mengenai rundingan di belakang tabir tetapi adalah tidak matang untuk mengatakan beliau kembali menjadi diktator. Ia lebih kepada hanya untuk menghargai pemimpin parti secepat mungkin,” kata Tunku Mohar. – 13 Mei, 2018.
Komen