Tony Fernandes minta maaf atas siaran video sokong Najib


The Malaysian Insight

TONY Fernandes hari ini memohon maaf pada rakyat Malaysia atas video yang disiarkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dilihat sebagai sokongan secara terbuka terhadap pentadbiran Najib Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu berkata beliau tersilap menyangka video tersebut dapat meredakan tekanan yang diterima daripada kerajaan terdahulu yang mahu beliau memecat Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz yang berkempen untuk Pakatan Harapan (PH).

“Saya diminta supaya memecat beliau (Rafidah) sebagai pengerusi AirAsia X. Saya menolak untuk berbuat demikian kerana saya fikir ia bukan tindakan yang wajar.

“Dan setiap hari saya ditekan kerana Tan Sri Rafidah makin ligat berkempen.

“Apabila impak dari Tan Sri Rafidah semakin hebat dan semakin popular, tekanannya juga semakin hebat. Semakin sukar untuk menahan tekanan daripada pejabat perdana menteri,” kata Fernandes menerusi video yang dipos di laman Facebook beliau.

Bagaimanapun, Fernandes tetap dengan pendiriannya dan tidak pernah meminta Rafidah melepaskan kedudukan beliau dalam lembaga pengarah.

Fernandes juga berkata menerima tekanan amat kuat apabila syarikat penerbangan itu menambah 120 lagi penerbangan bagi membawa 26,000 penumpang yang balik mengundi.

Dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman itu, AirAsia mendapat arahan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia supaya membatalkan kesemua penerbangan itu.

“Saya tahu ia bukan tindakan popular, tetapi sebagai sebuah syarikat penerbangan, kami harus berkhidmat kepada orang ramai,” katanya.

Atas sebab inilah, kata Fernandes, menjadi punca kepada lahirnya video itu, yang menurut perkiraannya akan meredakan tekanan kerajaan Najib.

“Ia kesilapan serius dalam membuat penilaian,” katanya.

“Tanpa berfikir panjang, saya fikir dengan membuat video itu, yang saya rasakan neutral dan berdasarkan fakta, serta pesawat dari Kota Kinabalu itu akan menyenangkan kerajaan dan melindungi semua pekerja kami,” kata Fernandes.

AirAsia telah mengecat salah satu pesawatnya yang membawa Najib dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur dengan warna biru berserta slogan kempen “Hebatkan Negaraku” dan “Make My Country Greater”.

Malah, pramugari dalam penerbangan itu juga memakai pakaian seragam biru, dan bukan pakaian seragam rasmi AirAsia yang berwarna merah.

Video tersebut mendapat mendapat maklum balas negatif apabila orang ramai menyelar tindakan Fernandes yang menyokong rejim Najib yang korup. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen