Pulang balik harta balai raya, kata Ketua Menteri Melaka


The Malaysian Insight

PULANG balik harta balai raya, kata Ketua Menteri Melaka yang baru, Adly Zahari kepada pihak pengurusan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang membuat harta benda awam itu seperti hak parti politik, lapor Bernama.

Katanya, barang-barang di balai raya seperti kipas dan kerusi adalah harta awam dan mesti dipulangkan balik supaya rakyat dapat guna untuk pelbagai aktiviti di tempat itu.

Tindakan mereka mengambil harta awam itu merugikan rakyat, kata ketua menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu.

“Balai raya adalah hak milik kerajaan dan ia (dibeli) dengan menggunakan wang daripada rakyat … ia bukan hak mana-mana parti politik, ia hak rakyat. Kita akan runding dengan pihak terbabit supaya ia (kemudahan itu) dipulangkan segera.

“Sepatutnya ia diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan yang memerintah dalam keadaan yang baik agar program dirancang di balai raya berkenaan dapat dilaksanakan,” katanya seperti dipetik Bernama.

Jelas Adly, kerajaan negeri PH tiada masalah kalau balai raya itu hendak digunakan oleh penyokong BN kerana semua orang ada hak ke atasnya.

Sementara itu, Adly akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya melihat semula sistem pendingin hawa di Seri Bendahara selepas bil elektrik di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Ayer Keroh itu mencecah RM46,000 sebulan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, PH menumbangkan BN di Melaka selepas selepas menang 15 daripada 28 kerusi negeri. PH juga menang empat daripada enam kerusi Parlimen iaitu di Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen