Adun Umno sekat hasrat PH lantik Nizar MB Perak


The Malaysian Insight

TIMBALAN Ketua Amanah Perak Nizar Jamaluddin adalah pilihan Pakatan Harapan (PH) untuk memegang jawatan menteri besar Perak.

Namun, ia digagalkan selepas dua Adun Umno mengugut untuk menarik sokongan terhadap PH jika Pengerusi Bersatu negeri Ahmad Faizal Azumu tidak dilantik sebagai menteri besar.

“Saya dijemput ke istana (Kuala Kangsar) pada 4.30 petang dan dimaklumkan bahawa saya diberi mandat daripada majlis presiden (PH) untuk menerajui Perak sebagai menteri besar.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir selepas itu,” kata Nizar kepada Malaysia Decides hari ini.

Sumber berkata, dua ADUN Umno menyatakan bantahan terhadap pelantikan Nizar kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada minit-minit terakhir.

“Sultan perlu memanggil semua ketua parti di Perak dan membuat keputusan untuk membenarkan Ahmad Faizal mengangkat sumpah,” kata sumber itu.

Nizar pernah berkhidmat sebagai menteri besar Perak antara 2008 dan 2009, dan disingkirkan semasa krisis Perlembagaan tercetus. Dan semalam, pencalonannya ditolak pada jam 11.

Apabila ditanya sama ada beliau kecewa, Nizar berkata beliau harus menghormati keputusan raja.

“Saya tidak kecewa, ini adalah prerogatif raja, saya mesti mematuhi keputusannya,” kata ADUN Sungai Rapat.

Adun Umno Nolee Radzi (Tualang Sekah) dan Fadzi Paharuddin (Sungai Manik) berkata mereka mahu bergabung dengan PH tetapi hanya menyokong Adun Chenderiang Ahmad Faizal untuk menjadi menteri besar.

“Menyedari bahawa untuk memastikan kerajaan negeri dibentuk mengikut prosedur, saya telah memberikan sokongan saya kepada calon MB.

“Bagaimanapun, saya tidak akan melompat parti dan masih mewakili BN. Saya memohon maaf dan saya bersedia menghadapi akibat dari kepimpinan,” tulis Nolee di Facebook malam tadi.

Sementara itu, Fadzi berkata keputusannya untuk menyokong kerajaan negeri PH bukan disebabkan kepentingan peribadi, lapor Utusan Malaysia.

“Saya tidak meminta apa-apa, saya hanya memikirkan rakyat di kawasan saya sekiranya kerajaan negeri kita berbeza dengan kerajaan persekutuan,” katanya. – 12 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen