Hospital kerajaan kekurangan peralatan penting, kata doktor


Ravin Palanisamy

Doktor yang ditemui berkata kekurangan peralatan perubatan adalah satu perkara biasa di hospital dan klinik kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2024.

WALAUPUN setiap tahun menerima dana peruntukan yang tinggi, pusat penjagaan kesihatan kerajaan masih berdepan masalah kekurangan barangan dan peralatan perlindungan perubatan untuk merawat pesakit, kata doktor.

Berbilion ringgit diperuntukkan setiap tahun untuk Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan awam di negara ini.

Kementerian menerima RM41. 2 bilion di bawah Bajet 2024, hampir 10.5% daripada keseluruhan bajet.

Doktor yang ditemui The Malaysian Insight berkata kekurangan peralatan perubatan adalah satu perkara biasa di hospital dan klinik kerajaan.

Mereka berkata kekurangan peralatan itu lazim berkata di klinik kerajaan dan pusat penjagaan kerajaan di kawasan pedalaman atau luar bandar, malah berlaku di hospital besar juga.

Seorang doktor di sebuah hospital di Negeri Sembilan berkata  beliau berdepan masalah kekurangan peralatan di unit rawatan rapi (ICU) – sebuah jabatan yang bertanggungjawab untuk memberikan rawatan rapi kepada pesakit yang sakit kritikal atau cedera.

Sebagai contoh, doktor itu berkata antara masalah biasa di ICU hospital tempat beliau bertugas adalah, mereka kekurangan reagen untuk mencairkan sampel darah di dalam mesin analisis gas darah (BGA).

BGA menyedut darah daripada picagari dan mengukur pH dan tekanan oksigen dan karbon dioksida.

Mengambil gas darah arteri (ABG) membabitkan penggunaan jarum dan picagari untuk sampel darah langsung daripada arteri.

“Kami buat untuk pesakit ICU, untuk mereka yang diintubasi, sampel ABG perlu diambil.

“Biasanya untuk seorang pesakit, sampel akan dijalankan sebanya empat hingga lima kali dalam tempoh 24 jam.

“Di dalam mesin BGA, perlu ada reagen untuk mencairkannya, bagi memastikan tidak ada gumpalan darah.

“Tetapi jika reagen itu cepat habis, kami akan berdepan masalah. Jadi bila berlaku perkara seperti ini, kami lakukan secara klinikal,” katanya.

Doktor itu berkata bila berlaku keadaan itu, mereka terpaksa bergantung kepada pemantauan terhadap pesakit untuk melihat bagaimana pesakit mulai pulih dengan ubat.

“Jadi, kami tidak ada angka kuantitatif untuk menunjukkan jika pesakit itu sudah bertambah baik atau tidak,” katanya.

Doktor itu berkata di hospital tempat beliau bertugas hanya terdapat tiga mesin BGA, yang digunakan oleh keseluruhan hospital. – 3 Ogos, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen