UGUTAN dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari BN untuk menarik balik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) telah mengenepikan watikah untuk Mohamad Nizar Jamaludin menjadi menteri besar Perak sekali lagi.
Menurut sumber, ia berlaku di minit-minit terakhir selepas semuanya bersedia untuk majlis mengangkat sumpah Nizar sebagai menteri besar di Istana Kinta petang semalam.
“Apabila makluman itu datang, Tuanku Sultan Perak telah memanggil kesemua ketua-ketua parti di Perak dan keputusan diambil agar Ketua Bersatu Perak, Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai menteri besar,” kata sumber itu kepada Malaysia Decides.
Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi PH telah mengeluarkan surat watikah agar Adun Sungai Rapat dari Amanah, Mohamad Nizar Jamaludin dilantik sebagai menteri besar Perak.
Pemilihan Nizar, bekas menteri besar Perak selama 11 bulan pada 2008 lalu, dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada Sabtu.
Namun apabila majlis mengangkat sumpah hendak dibuat, kedua-dua Adun BN itu memaklumkan kepada Tuanku Sultan Perak, mereka hanya menyokong Faizal sebagai menteri besar.
Perkara ini diakui oleh Adun Tualang Sekah Nolee Radzi melalui facebook beliau dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi kepada New Straits Times.
Kedua-duanya memberikan sokongan kepada Faizal Azumu untuk membentuk kerajaan di Perak tetapi berkata mereka kekal bersama BN.
Ini kerana Perak masih tidak mempunyai kerajaan negeri, tiga hari selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan.
“Di atas kesedaran ini saya telah mengambil ketetapan untuk memastikan penubuhan kerajaan mengikut prosedur yang disyorkan, dengan memberi sokongan kepada satu calon MB bagi membolehkan proses pembentukan kerajaan negeri yang baru, yang amat diperlukan oleh rakyat boleh dimulakan.
“Walaupun begitu, saya ingin tegaskan bahawasanya, saya tidak lompat parti dan masih mewakili Barisan Nasional. Saya mohon maaf dan sedia menerima serta akur dengan tindakan seterusnya daripada pucuk pimpinan,” kata Nolee dalam laman Facebook semalam.
Seorang lagi Adun BN, Fadzi Paharuddin (BN Sungai Manik) juga membuat pengakuan yang sama kepada New Straits Times.
“Saya sendiri memberitahu Sultan bahawa saya hanya menyokong ADUN Chenderiang (Faizal) sebagai menteri besar. Itu adalah afidavit yang saya tandatangani. Saya tidak sebut sokongan kepada HARAPAN,” kata Zainol Fadzi sebagaimana dilaporkan NST.
Dalam pilihan raya baru-baru ini, PH mendapat 29 kerusi manakala BN (27) dan PAS (3).
Di kalangan PH pula, DAP mendapat kerusi paling banyak iaitu 18, Amanah (6), PKR (4) manakala Bersatu hanya satu.
Atas dasar itu, pada awalnya Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi dicadangkan sebagai menteri besar.
Namun begitu, apabila dibawa kepada Majlis Presiden PH, Nizar dipilih sebagai menteri besar.
Tetapi bagi memastikan kerajaan PH terus boleh mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan, Faizal dipilih sebagai menteri besar. – 12 Mei, 2018.
Komen