Nurul Izzah tak pandang serius kritikan rakyat terhadap Rafizi, PKR


The Malaysian Insight

NURUL Izzah Anwar hari ini tidak memandang serius kritikan rakyat Malaysia terhadap PKR dan Rafizi Ramli berhubung kenyataannya yang menyentuh mengenai isu pelantikan tiga menteri Kabinet semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata gabungan tersebut, yang baru dilantik untuk menerajui negara, tidak akan tersasar daripada matlamatnya, iaitu untuk memastikan kerajaan yang baik untuk rakyat dapat ditubuhkan.

“Saya tidak bimbang (tentang kritikan tersebut). Kita telah cukup diingatkan oleh rakyat untuk fokus terhadap agenda yang ingin dibawa.

“Kami harus bekerja keras dalam semangat optimisme tersebut. Saya yakin dengan adanya optimisme dan komrad yang sejati, kami akan mampu atasi apa pun jua rintangan yang mendatang,” katanya kepada pemberita pada majlis kenduri di Permatang Pauh tengah hari ini.

Tambah Izzah, ayahnya yang juga Ketua Umum PKR serta PH Anwar Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu nanti.

Semalam, Perdana Menteri dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan.

Tidak hadir semasa sidang media tersebut adalah pemimpin kanan PKR, termasuk presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga timbalan perdana menteri yang baru.

Menjawab soalan mengenai mengapa tiada wakil PKR pada mesyuarat atau pengumuman tersebut, Rafizi berkata PKR menganggap perkata itu masih belum dimuktamadkan dan pelantikan Kabinet memerlukan persetujuan keempat-empat parti komponen PH.

Pengguna media sosial menempelak Rafizi kerana mengeluarkan kenyataan yang disifatkan mereka akan mengucar-kacirkan serta melemahkan kerajaan Persekutuan PH yang baru dibentuk.

Antara kritikan yang dilemparkan terhadap Rafizi adalah kenyataan beliau itu tidak menghormati Dr Mahathir, akan menyebabkan perpecahan dalam gabungan tersebut, dan mengecewakan pengundi yang memilih PH untuk menerajui negara.

Rafizi turut mendapat perhatian peguam terkemuka Ambiga Sreenevasan yang menciap: “PKR, tolong hentikan karut-marut anda.”

Bekas presiden Majlis Peguam Christopher Leong turut memberi respons dengan menyifatkan pertelingkahan yang dicetuskan ahli politik PH tertentu berhubung jawatan dalam kabinet sebagai bersikap tidak hormat terhadap pengundi Malaysia.  – 13 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen