KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) harus memastikan calon peguam negara yang baru bebas dari mana-mana parti politik, kata Lawyers for Liberty (LFL).
“Kami menyeru kerajaan PH supaya maklum bahawa dalam tempoh peralihan ini, kepercayaan awam terhadap jawatan AG (peguam negara) ini perlu dipulihkan, memandangkan Apandi Ali dan AG sebelum ini menyalahguna kuasa mereka,” kata Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen.
Beliau berkata peguam negara mestilah seseorang yang mendapat keyakinan penuh rakyat dan bebas dalam menjalankan peranannya.
LFL juga berkata terdapat ramai bekas hakim terkemuka dan peguam kanan yang kekal sama ada dalam masyarakat awam atau dalam kapasiti individu mereka sendiri yang lebih layak dilantik sebagai peguam negara kerana tidak terikat dengan parti politik.
“Sangat penting bahawa pesalah dari kedua-dua belah politik diambil tindakan atas kesalahan mereka, dan AG yang baru harus bertindak secara bebas dan memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa beliau mampu berbuat demikian,” katanya.
Paulsen menambah, “pembaharuan kritikal” iaitu memisahkan jawatan peguam negara dari tanggungjawabnya sebagai pendakwa raya masih belum dicapai.
“Jadi, amat penting bahawa individu yang dilantik mestilah mampu menjalankan kewajipannya dengan bebas - dan seterusya, beliau tidak boleh terikat antara kedudukan dan keahlian parti.”
Apandi merupakan ahli Umno sebelum dilantik sebagai peguam negara. Dalam satu temu bual bersamanya sebelum ini, beliau berkata jawatan tertinggi yang pernah dipegangnya adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa di Kelantan.
“Tindakan beliau yang melepaskan Najib Razak dari sebarang salah laku dalam 1MDB menunjukkan bahawa betapa bahayanya melantik mereka yang mempunyai latar belakang sedemikian memegang jawatan AG,” tambah Paulsen.
Menurut beliau, LFL mempunyai “hubungan kerja amat baik” dengan ramai peguam yang menjadi ketua parti atau wakil rakyat PH serta mereka yang layak untuk memegang jawatan peguam negara.
Namun, Paulsen memberi amaran bahawa “latar belakang parti menunjukkan mereka sesuai sebagai menteri undang-undang”. – 13 Mei, 2018.
Komen