Kenapa PKR boikot mesyuarat pelantikan Kabinet


The Malaysian Insight

BUKAN hanya pelantikan Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang dipertikaikan oleh PKR, parti itu juga dikhabarkan tidak berpuas hati terhadap keengganan parti komponen lain untuk menukar tempat mesyuarat Majlis Presiden ke Hospital Rehabilitasi Cheras

Keenggan itu menyebabkan pemimpin kanan PKR meninggalkan mesyuarat di Petaling Jaya yang dihadiri pemimpin kanan DAP, Amanah dan Bersatu, dan dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata sumber.

PKR mahu mesyuarat diadakan di Hospital Rehabilitasi Cheras bagi membolehkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim untuk turut mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut.

Anwar, yang masih menjalani hukuman penjara, menerima rawatan di hospital tersebut susulan pembedahan di bahunya.

“Permintaan itu dibuat oleh PKR kepada (Perdana Menteri) Tun Mahathir, tetapi Tun Mahathir menolak kerana pusat (Cheras) itu bukan tempat yang sesuai. Namun Tun ada melawat Anwar selepas pertemuan malam tadi,” kata sumber kepada Malaysia Decides.

Semasa pertemuan di ibu pejabat Bersatu di Yayasan Selangor, saksi menyaksikan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memasuki pejabat berkenaan sebelum mesyuarat bermula.

Bagaimanapun dia dilihat meninggalkan bangunan itu sejurus selepas memasuki bangunan tersebut. Naib presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin turut hadir pada mesyuarat ketika ia bermula, tetapi turut meninggalkannya selepas Saifuddin.

Pada akhir mesyuarat itu, Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH, mengumumkan pelantikan tiga jawatan Kabinet.

Mereka adalah Muhyiddin Yassin dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri dalam negeri, Lim Guan Eng dari DAP sebagai menteri kewangan dan Mohamad Sabu dari Amanah sebagai menteri pertahanan.

Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR pula dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Selepas pengumuman itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan yang mendakwa pelantikan itu tidak muktamad kerana ia dicapai tanpa restu PKR.

Kenyataan Rafizi mengundang kritikan rakan-rakannya dari DAP, Amanah dan kumpulan masyarakat sivil yang berkempen untuk PH.

Pemimpin DAP dan Amanah berkata pelantikan itu dicapai menerusi konsensus. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen