Ahli Parlimen Batu masuk PKR


The Malaysian Insight

AHLI Parlimen Batu, P Prabakaran menyerahkan borang keahlian untuk menyertai parti PKR di Taman Dato Senu, hari ini.

Calon paling muda yang memenangi kerusi parlimen Batu atas tiket Bebas dengan majoriti lebih 30,000 pengundi itu menyerahkan borang kepada mantan ahli parlimen, Tian Chua.

“Saya rasa bukan cabang PKR rasa bangga tetapi AMK juga rasa boleh dapat manfaat dengan pengalaman anak muda ini,” kata Tian Chua sewaktu menerima borang tersebut di Majlis Kesyukuran Parlimen Batu diadakan bermula 12 tengah hari tadi.

Prabakaran sebelum ini memilih menjadi calon Bebas kerana mahu menjadi suara orang muda.

Pelajar undang-undang itu kini dibantu Tian Chua untuk memberi khidmat kepada pengundi di parlimen Batu.

Sebelum ini, Tian Chua yang merupakan wakil rakyat 2 penggal itu ditolak untuk bertanding buat kali ketiga kerana didenda RM2,000 selepas menghina seorang anggota polis.

Perlembagaan Persekutuan melucutkan kelayakan bertanding terhadap mereka yang didenda melebihi RM2,000.

Prabakaran dalam pada itu berkata dirinya sudah merancang awal untuk menyertai PKR kerana ingin memperjuangkan isu anak muda.

“Agenda saya dengan agenda PH kini adalah sama. Tapi saya akan fokus pada generasi anak muda.

“Saya dulu memang penyokong PKR dan PH, ada rancang sebelum ini. Saya hendak jadi suara pemuda. Sekarang saya ada peluang sertai pilihan,” katanya kepada media selepas Majlis Makan di Taman Dato Senu tengahari tadi. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen