GST akan diuruskan selepas saya angkat sumpah, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

BAKAL Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan (PH) tidak lupa kepada 10 ikrar yang telah dijanjikan akan dilaksanakan dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan.

Beliau berkata PH akan berpegang kepada janji untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sambil menambah beliau akan menguruskan perkara itu sebaik sahaja mengangkat sumpah.

“Kita (PH) tak akan lupakan janji untuk mansuhkan cukai itu. Kita akan tunaikan janji, tetapi mungkin akan mengambil sedikit masa.

“Kita akan bekerja dengan kuat untuk rakyat,” kata Lim.

Selain daripada GST, PH berjanji akan memperkenalkan semula subsidi minyak, memansuhkan hutang yang tidak perlu bagi peneroka Felda, memperkenalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan menyeragamkan serta meningkatkan gaji minimum di seluruh negara.

Kerajaan PH juga berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga peminjam memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan, dan memperkenalkan Skim Peduli Sihat yang menyediakan bantuan RM500 untuk rawatan perubatan asas di klinik-klinik swasta berdaftar bagi golongan B40.

Turut termasuk dalam janji PH itu ialah mengembalikan semula hak autonomi Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mengkaji semula semua projek mega yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat asing seperti projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

PH juga berjanji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat antaranya skandal 1MDB, Mara, Tabung Haji dan Felda, serta mereka yang terlibat dalam skandal-skandal terbabit.

Bagaimanapun, Lim enggan mengulas mengenai perkara yang melibatkan portfolio beliau, seperti dasar ekonomi.

“Saya tidak boleh mengulas sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan. Saya rasa, saya perlu berjumpa dulu dengan pegawai kanan yang berkaitan.

“Tak elok untuk saya cakap lebih lanjut.

“Biar saya dapatkan taklimat dari pegawai-pegawai dulu. Kita kena pegawai yang cekap untuk kendali keadaan,” katanya.

Lim juga berkata beliau masih belum dapat bertemu ahli-ahli majlis penasihat kerajaan yang diketuai oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Majlis itu ditugaskan untuk membuat cadangan kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan ekonomi, hutang negara, nilai ringgit, GST, subsidi minyak dan skandal-skandal utama di bawah kerajaan terdahulu.

Ia turut dianggotai bekas gabenor Bank Negara Malaysia Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Mohd Hassan Merican, ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan taikun Malaysia Robert Kuok yang berpangkalan di Hong Kong.

“Saya belum berpeluang untuk bertemu mereka. Tetapi Kuok tak akan datang ke Malaysia. Kita mungkin akan adakan sidang video dengan beliau,” kata Lim. – 13 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen