BEBERAPA pihak dalam Pakatan Harapan (PH) nampaknya tidak senang dengan gejala lompat parti ahli Parlimen dan DUN Barisan Nasional (BN) ke dalam kerajaan PH yang baru dibentuk.
Meluahkan kebimbangan itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor DAP Ram Karpal Singh berkata tindakan penerimaan itu tidak bijak dan tidak boleh digalakkan.
“Dengan penuh hormat, perubahan sebenar memerlukan PH perlu memulakan kembaranya untuk menyelamatkan Malaysia dengan tidak melibatkan wakil BN kerana mereka adalah pihak yang menyokong dan bersetuju dengan rejim bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berjaya ditumbangkan PH,”katanya dalam satu kenyataan.
Ram Karpal berkata wakil rakyat BN bersubahat dalam salah tadbir negara ketika zaman pentadbiran Najib.
“Kemasukan beramai-ramai wakil rakyat BN ke dalam PH akan menyebabkan keyakinan pengundi PH terhakis kerana mereka mengundi untuk perubahan yang bakal terjejas sekiranya wakil rakyat BN dibenarkan menyertai PH,” katanya.
Ram Karpal berkata PH mempunyai jumlah wakil mencukupi dan sekiranya bekerja keras akan mampu memperolehi majoriti dua pertiga yang sah pada PRU15 nanti.
Katanya, kerajaan PH perlu menggunakan pendekatan anti lompat parti diambil kerajaan Pulau Pinang yang memperkenalkan undang-undang anti lompat parti pada 2012 yang memerlukan Adun mengosongkan kerusinya sekiranya meletak jawatan, dibuang atau tidak lagi menjadi ahli parti asalnya (dengan beberapa pengecualian).
“Negara perlu dibersihkan daripada wabak enam dekad pemerintahan BN. Sangat mustahak untuk BN ditolak sepenuhnya dalam usaha mencapai matlamat ini dan kepimpinan PH perlu mempertimbangkan dengan sangat serius sebelum menerima tindakan berpaling tadah (lompat parti) ini,” katanya. – 13 Mei, 2018.
Komen