PARA diplomat dan pemerhati Singapura berharap projek link rel berkelajuan tinggi (HSR) akan diteruskan di bawah kerajaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menurut TodayOnline.
Mungkin akan berlaku kelewatan atau kajian semula terhadap semua projek dua hala seperti Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dan Sistem Transit Rapid (RTS) dengan Johor, tetapi mereka berkata projek-projek ini tidak mungin akan dibatalkan kerana ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Duta Besar Ong Keng Yong, bekas Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, berkata “banyak aspek perjanjian HSR telahpun dibincangkan (dan dipersetujui) antara Malaysia dan Singapura sepanjang dua tahun yang lalu”.
HSR dan RTS adalah projek yang ditandatangani antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Dr Mahathir telah berjanji akan mengkaji semula semua projek mega untuk melihat sama ada ia memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, dan ini merisaukan pemerhati Singapura sekiranya ia melibatkan HSR.
Pakar pengangkutan bandar, Park byung Joon dari Universiti Sains Sosial Singapura, berkata “tidak manis” jika kerajaan baru Malaysia membatalkan projek tersebut, jadi ia mungkin tidak akan diberi keutamaan.
Dr Mustafa Izzuddin dari Institut Iseas-Yusof Ishak berkata pembatalan projek berkenaan akan dikenakan penalti kewangan yang tinggi.
Projek itu mungkin akan ditangguhkan, “sehingga terma dan syarat kontrak disusun semula mengikut kehendak kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Tender-tender bagi rekaan, pembinaan, kewangan dan penyelenggaraan bagi projek HSR diberi pada Disember tahun lalu, dengan keseluruhan projek antara Singapura dan Kuala Lumpur itu akan disiapkan dan beroperasi pada 31 Disember, 2026.
Bagi Link RTS Johor Bahru-Singapura, Park berkata sebahagian projek itu akan melibatkan kerja-kerja di pihak Singapura dan akan menerima kesan akibat perubahan kerajaan. – 13 Mei, 2018.
Komen