LALUAN keluar masuk ke kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak di kawal ketat polis bermula hari ini. Arahan kawalan itu dipercayai dikeluarkan malam tadi.
Bernama melaporkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa yang berkata tindakan itu dilakukan bagi menjaga keselamatan.
“Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah ditempatkan untuk mengawal keselamatan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Kawalan itu termasuklah lima anggota polis yang ditempatkan di simpang masuk ke kediaman di Jalan Langgak Duta, Taman Duta itu. Selain tu, balai polis bergerak juga ditempatkan di kawasan itu, pemeriksaan juga dilakukan ke atas individu dan kenderaan yang mahu masuk ke laluan itu.
Semalam, Najib dan isteri, Rosmah Mansor dihalang keluar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia setelah tular maklumat yang mereka akan bercuti ke Jakarta menggunakan pesawat peribadi. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian mengesahkan arahan larangan itu dikeluarkan olehnya. – 13 Mei, 2018.
Komen