Penasihat paling dipercayai Najib sudah tinggalkan Malaysia


The Malaysian Insight

MALAYSIA Decides difahamkan yang Paul Stadlen meninggalkan Malaysia pada 10 Mei, apabila jelas cubaan saat akhir Najib Razak memujuk wakil rakyat PKR menyertai BN/PAS gagal.

Dia kekal berada di samping Najib beberapa jam sebelum Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada jam 9.30 malam Khamis lalu.

Stadlen menerajui Apco Worldwide cawangan Kuala Lumpur, sebuah syarikat komunikasi strategi. Tetapi beberapa tahun lepas, kerajaan Najib dikecam hebat dan menerima tekanan kerana mengupah syarikat yang turut memberikan khidmat rundingan kepada Israel.

Apco kemudiannya ditamatkan khidmatnya sebagai perunding tetapi Stadlen kekal bersama Najib. Dia berhenti kerja di Apco, dan diupah menjadi perunding sepenuh masa Najib dan diberikan status penduduk tetap Malaysia.

Sarawak Report melaporkan yang Stadlen diupah oleh Jabatan Perdana Menteri dengan gaji tahunan sekurang-kurangnya RM3 juta.

Khidmatnya juga digunakan 1MDB.

Walaupun Najib menggunakan beberapa khidmat perunding berbayar mahal ketika menjadi perdana menteri sejak pertengahan 2009 hingga 2018, diketahui umum yang Stadlen adalah antara perunding paling rapat dengan bekas presiden Umno itu.

Awalnya, tanggungjawab kerjanya termasuklah menangani media antarabangsa dan menulis serta mengeluarkan kenyataan media. Tetapi, Najib kemudian bergantung kepadanya untuk nasihat dalam pelbagai isu termasuklah pelantikan penting jawatan kerajaan.

Sejak 24 bulan lepas, sangat jelas yang Stadlen mampu mempengaruhi Najib, malah kedudukannya dalam Umno dan dunia korporat juga semakin berpengaruh.

Tugas terakhirnya beberapa hari sebelum pilihan raya adalah mengatur wawancara Najib dengan Bloomberg.

Khabar angin bertiup kencang yang wujud senarai pihak yang akan dikenakan tindakan atas kesalahan dan kesilapan mereka selepas Dr Mahathir dan Pakatan Harapan berjaya merampas kuasa daripada Barisan Nasional.

Najib dan isteri berada di tangga teratas senarai itu.

Mengikut rapat pasangan itu adalah penasihat-penasihat kanan Najib yang sesuka hati menggunakan kuasa untuk menekan sesiapa sahaja yang mengkritik ketua mereka.

Salah seorang yang bakal menerima akibat adalah Habibur Rahman. Sejak 18 bulan lalu, dia adalah dalang pasukan “black ops” Najib. Dia dikatakan sangat berkuasa sehingga mampu mengarahkan agensi kerajaan termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertindak ke atas sesiapa yang tidak disukainya.

Beberapa musuhnya langsung tidak bersalah, tetapi masih terjejas teruk.

Sebelum kejatuhan Najib, Habibur dikatakan suka bercakap besar tentang pengaruh dan kuasanya. Dia yang sering ditemui di kompleks membeli belah di Bangsar, suka benar mengaku bertanggungjawab atas kejatuhan beberapa ketua syarikat berkaitan kerajaan; menentukan liputan media arus perdana dan mengarahkan kumpulan Melayu mengancam sesiapa sahaja yang tidak disukainya.

Habibur juga adalah dalang utama dalam penubuhan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kerugian pelaburan forex pada zaman Dr Mahathir. Najib dan penasihatnya percaya dengan menyalahkan Dr Mahathir atas kerugian itu, mereka mampu menjejaskan moral Dr Mahathir pada pandangan orang awam.

Ia gagal, RCI itu dianggap satu penipuan.

Bagi menghargai “khidmatnya”, Habibur dilantik menjadi pengarah Malaysia Airlines- pelantikan yang mencetuskan rasa tidak puas hati pengurusan professional yang diberi tugas menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu.

Malah, ketika berada di situpun, dia masih lagi mahu berlagak dengan semua orang yang Najib dengar cakapnya dan bagaimana dia sudah berjaya menghapuskan wibawa Dr Mahathir.

Dalam fikirannya, dia sudah berjaya menghapuskan ancaman Dr Mahathir dan jumlah orang yang datang untuk mendengar ceramah perdana menteri itu pada kempen pilihan raya bukanlah sesuatu yang perlu digerunkan.

Sampailah di hari-hari terakhir berkempen, dia masih lagi mengeluarkan ugutan kepada sesiapa yang tidak menyokong Najib. Kata-katanya yang terkenal: sama ada bersama kami atau tidak. Tidak ada atas pagar.

Habibur sudah tidak dapat dikesan sejak hari pengundian. Tidak dapat dipastikan sama ada dia masih berada di Malaysia atau sudah meninggalkan negara ini.

Mungkin juga sudah menghilangkan diri tetapi pastinya tidak akan dilupakan oleh ramai orang yang mahu menuntut pengadilan. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen