DUA tahun lalu, ketika Lim Guan Eng didakwa atas kesalahan rasuah, beliau menamakan Chow Kon Yeow sebagai penggantinya bagi jawatan ketua menteri Pulau Pinang.
Hari ini, Chow akan dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima, selepas Lim diberi tanggungjawab menggalas jawatan Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Sebagai Ketua Pakatan Harapan Pulau Pinang, saya umumkan yang saya tidak akan teruskan penggal ketiga sebagai ketua menteri. Saya akan merindui Pulau Pinang,” kata Lim.
“Adun Padang Kota Chow Kon Yeow akan menggantikan saya sebagai ketua menteri,” umum Lim pada sidang media di pejabatnya di Komtar pagi ini yang turut dihadiri oleh semua wakil rakyat PH dan beberapa ahli Parlimen.
Setiausaha Agung DAP itu, yang juga Adun Air Putih, berjanji beliau akna kembali semula ke Pulau Pinang.
Chow akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri yang kelima di hadapan Tuan Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang Dr Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, pagi esok.
“Saya berterima kasih kepada Lim atas kepimpinan beliau sebagai KM sepanjang 10 tahun ini, yang menyaksikan Pulau Pinang mencapai banyak kejayaan,” kata Chow.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang kerana memberi mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri itu, serta mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan sejawatan lain dalam PH yang menang dalam PRU14 baru-baru ini.
Chow juga mengucapkan terima kasih kepada tiga calon PH yang tewas di kerusi yang mereka tandingi kerana telah berjuang sehabis baik.
Beliau berjanji untuk memenuhi 68 ikrar dalam manifesto PH Pulau Pinang , dan berharap menteri kewangan baharu dan kerajaan negeri akan menjalankan kerjasama yang erat.
“Saya harap kita akan berkerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan supaya Pulau Pinang akan mendapat banyak peruntukan untuk membangunkan projek yang ada dalam perancangan, seperti projek tebatan banjir untuk Sungai Pinang,” katanya, merujuk kepada peruntukan yang sekian lama dinantikan dari Putrajaya.
Ahli Parlimen Tanjong selama empat penggal itu memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya 1994, 2004, 2008 dan 2008.
Beliau meruapakan wakil rakyat bagi kerusi DUN Padang Kota, yang telah dimenanginya selama tiga penggal sejak 2008.
Sepanjang 10 tahun yang lalu, Chow juga adalah exco yang menjaga beberapa portfolio penting dalam kerajaan negeri iaitu pengurusan tempatan dan pengurusan lalu lintas.
Beliau juga pernah menguruskan hal-hal persekitaran sehinggalah portfolio itu dipindahkan ke exco kebajikan dan masyarakat penyayang. Chow kemudian menganbil alih portfolio penebatan banjir.
Chow, 60, dilahirkan di Kuala Lumpur, juga merupakan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan telah mengetuai DAP Pulau Pinang sejak 1999.
Beliau memperoleh ijazah dalam bidang sains gunaan dari Universiti sains Malaysia Pulau Pinang. Sebelum terlibat dalam politik, bapa kepada dua cahaya mata itu adalah wartawan di Echo National. – 13 Mei, 2018.
Komen