320 keluarga Orang Asli Pos Pulat perintis tanaman kenaf


Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (tengah) bersama Ketua Wilayah Timur LKTN Nik Muhamad Azhar Nik Mustapha (kiri). – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Ian McIntyre, 26 Julai 2024.

KIRA-KIRA 320 keluarga di penempatan Orang Asli Pos Pulat di Gua Musang menjadi komuniti pertama yang diperkenalkan kepada tanaman kenaf serba guna oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Keluarga Orang Asli ini kini boleh terlibat dalam pelbagai aktiviti hiliran berdasarkan tanaman yang boleh dengan mudah ditanam dan diuruskan dalam iklim tropika Malaysia, kata pengerusi lembaga tersebut Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

“Oleh itu ia sesuai untuk komuniti Orang Asli yang kebanyakannya bergantung kepada pertanian untuk menanam kenaf. Ia adalah tanaman yang mempunyai potensi besar jika petani tahu bagaimana memanfaatkan potensinya,” tambah beliau ketika ditemui semasa program di Gua Musang, Kelantan awal minggu ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berkat Orang Asli mempunyai pemahaman yang mendalam dalam asas pertanian, jadi menanam kenaf seharusnya menjadi sesuatu yang semula jadi bagi mereka.

Terdapat perancangan untuk mengembangkan penanaman kenaf ke setiap komuniti Orang Asli yang tinggal di pinggir Kelantan, Perak, dan Pahang.

Wan Abdul Rahim membayangkan Orang Asli boleh menanam kenaf untuk mempelbagaikan sumber pendapatan mereka yang kebanyakannya diperoleh daripada sumber hutan seperti mencari tumbuhan ubatan, memancing dan memburu.

Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus Cannabinus adalah sejenis tanaman jangka pendek berserat dan bukan berkayu yang berasal dari India dan Afrika.

Kenaf ditanam untuk seratnya yang digunakan untuk membuat kertas, tali dan tekstil serta sering digunakan sebagai pengganti rami.

Di Malaysia kenaf juga boleh digunakan sebagai makanan haiwan peliharaan, komponen untuk perabot dan bantal serta tilam.

Kenaf kini banyak disarankan sebagai pengganti tembakau kerana nilai-nilai lestarinya.

Kenaf biasanya tumbuh subur dalam kelembapan tinggi oleh itu negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan kawasan tanah yang sesuai untuk menanam tanaman ini.

Ketua Wilayah Timur LKTN Nik Muhamad Azhar Nik Mustapha mendedahkan lembaga tersebut menyasarkan agar kenaf ditanam di kawasan seluas 350 hektar supaya hasilnya dapat diubah menjadi industri kenaf seperti pembuatan perabot, manakala 128 hektar lagi ditanam untuk menghasilkan serat, 200 hektar untuk makanan ternakan dan 22 hektar untuk pertanian berkelompok.

Nik Azhar juga berkata lembaga tersebut akan menyediakan insentif dan latihan kepada mereka yang berminat untuk menanam tanaman ini secara komersial terutamanya dalam usaha mengurangkan penanaman tembakau.

Wan Abdul Rahim berkat terdapat juga rancangan untuk mengembangkan kenaf ke Sarawak di mana tanaman ini boleh ditanam secara meluas kerana keluasan tanah yang dimiliki oleh negeri tersebut.

Beliau berkata lembaga tersebut akan segera melancarkan kempen kesedaran yang lebih tinggi untuk memastikan rakyat Malaysia memahami nilai gandaan kenaf.

“Kita bertuah kerana mempunyai tanah subur yang membolehkan tanaman bukan asli seperti kelapa sawit, getah dan kini kenaf tumbuh dengan subur di sini. Kita mesti memanfaatkan peluang ini,” katanya. – 26 Julai 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen