AHLI-ahi Dewan Udangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor juga perlu diberi peruntukan pembangunan untuk kawasan mereka, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman.
Syed Saddiq mengulas keputusan Menteri Besar Johor Osman Sapian untuk tidak memberi peruntukan kepada adun pembangkang di negeri itu.
“Saya telah kongsikan pandangan saya kepada rakan sepasukan. Kami akan merangka dasar mengenai perkara ini,” kata ahli Parlimen dari Bersatu yang berusia 25 tahun itu di Twitter hari ini.
Beliau menjawab kebimbangan seorang pengguna Twitter berhubung tindakan Osman yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor semalam.
“YB@SyedSaddiq, tolong suarakan kebimbangan kami. Kami mahu peruntukan sama rata bagi semua wakil rakyat tidak kiralah ia dipegang oleh pembangkang atau tidak. Supaya kita boleh sama-sama bangunkan JB,” kata Nimelesh.
“Saya amat setuju,” balas Syed Saddiq.
“Demi demokrasi Malaysia berkembang subur, kita perlukan pembangkang yang kuat dan berwibawa diberi tanggungjawab.
“Beri mereka peruntukan, bukan kerana mereka adalah lawan kita, tetapi mereka adalah semak dan imbang.”
Selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar semalam, Osman memberitahu media bahawa tiada alasan mengapa adun BN harus diberi peruntukan. Bagi beliau, tindakan sedemikian ibarat “memberi peluru kepada lawan”.
Bagaimanapun, Selangor dan Pulau Pinang yang masing-masing diterajui PKR dan DAP dalam penggal yang lalu memberi peruntukan kepada pembangkang di negeri mereka bagi kerja-kerja infrastruktur dan bantuan kebajikan untuk rakyat. – 13 Mei, 2018.
Komen