Awang Selamat ingatkan Pakatan jangan terlalu gembira, hidup ini umpama roda


The Malaysian Insight

AKHBAR Umno, Utusan Malaysia menerusi ruangan pojok Awang Selamat hari ini menasihatkan Pakatan Harapan (PH) agar tidak terlalu megah dengan kemenangan yang dikecapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Awang berkata hidup ini umpama roda dan rakyat akan menghukum kerajaan yang gagal melunaskan janji-janjinya.

“Hidup ini termasuk keputusan PRU14 umpama roda, adakalanya di bawah dan adakalanya di atas. Dengan kata lain, kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh melakukan banyak kesilapan,” kata Awang dalam analisis Mingguan Malaysia hari ini.

Jelasnya, kegagalan melaksanakan janji akan memberi padah kepada kerajaan PH.

“Juga terbukti rakyat tidak akan terikat kepada rasa terhutang budi. Ambillah iktibar bagaimana rakyat menjatuhkan hukuman, yang selepas ini giliran siapa pula,” kata Awang Selamat lagi.

Dalam pada itu, Awang turut menyeru PH melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan dan tidak melepaskan dendam terhadap musuh politik.

“Pada Awang, strategi terbaik adalah melaksanakan pendekatan yang benar-benar memenangi hati rakyat dan bukannya lebih menonjolkan sisi untuk melepaskan dendam serta geram kepada musuh politik.

“Walaupun menang besar, gabungan Pakatan Harapan belum teruji sebagai kerajaan dan mudah rapuh untuk dilanda konflik,” katanya.

Tambah Awang Selamat, peluang kedua yang diberi kepada Dr Mahathir Mohamad yang dilantik semula menjadi Perdana Menteri buat kali kedua adalah untuk menebus semula kesilapan.

“PPBM (Bersatu) yang Dr Mahathir ketuai hanya parti rendah kerusi Parlimen berbanding PKR dan DAP.

“Tidak sama senarionya ketika menjadi PM selama 22 tahun dengan Umno yang dipimpinnya ketika itu sepanjang masa mempunyai jumlah kerusi terbesar sebagai sandaran,” kata Awang Selamat lagi. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen