Tragedi akhir feri ikonik Pulau Pinang


Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun dan digantikan dengan perkhidmatan bot laju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2024.

KEPUTUSAN Pulau Pinang memusnahkan empat feri dua tingkat ikonik menjadi logam cair dan memusnahkan bahagian-bahagian besar untuk dijual sebagai loji serpihan pada ulang tahun ke-130 perkhidmatan berkenaan tidak disokong oleh beberapa pihak.

Mereka mengkritik Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) yang menguruskan feri sudah tidak digunakan ini yang dibiarkan berlabuh di tepi pantai sejak 2020.

Semalam feri Pulau Kapas dilaporkan tenggelam di Jeti Butterworth selepas disedari senget sejak ‘diparkir’ di jeti itu pada 2018.

Pulau Kapas adalah salah satu daripada empat feri yang ditarik daripada perkhidmatan pada 2020. Feri-feri lain adalah Pulau Undan, Pulau Paya dan Pulau Talang Talang.

Selepas kejadian itu PPC memutuskan untuk membuang feri ini dengan segera kerana kerja-kerja pembaikan lanjut tidak dapat dilakukan disebabkan kerosakan struktur yang serius.

Seorang pakar industri maritim berkata feri-feri tersebut sepatutnya ditempatkan di dok kering dengan segera selepas ditarik daripada perkhidmatan, bukan berlabuh di tepi pantai.

Ini akan mengurangkan proses penguraian dan memberikan lebih banyak masa kepada pihak berkuasa untuk mencari penerima yang sesuai bagi feri-feri tersebut, kata pakar yang enggan dikenali.

“Setiap kali kapal dimasukkan ke dalam air, mesti dilakukan penyelenggaraan. Saya ragu jika ini dilakukan dalam kes feri-feri ini. Feri-feri ini hanya dibiar sahaja.

“Pam mesti berfungsi dengan baik tetapi dalam kes feri Pulau Kapas, jelas pihak berkuasa membenarkan air laut meresap masuk dan tidak lama kemudian feri itu seget dan tenggelam,” katanya.

Pakar tersebut berkata pemilik feri perlu berhati-hati dalam menguruskan feri yang semakin uzur dan menambah kelewatan dalam membuat keputusan juga menyebabkan feri mengalami penguraian sehingga tidak dapat diperbaiki lagi dan tidak boleh berlayar.

Bekas pengerusi PPC, Jeffrey Chew Gim Eam pula berkata PPC memang mencuba menjalin hubungan dengan sektor swasta untuk menyelenggara semula dan memelihara feri-feri yang ditarik dari perkhidmatan tetapi tiada pihak yang berminat.

Beliau berkata walaupun ada yang pada awalnya berminat, mereka tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

Chew berkata PPC mempunyai alasan yang kukuh untuk membuang feri-feri tersebut walaupun ia mengecewakan kerana kedudukan ikonik perkhidmatan itu di Pulau Pinang.

Malah katanya daripada enam feri yang masih ada, dua diselamatkan - satu dibeli oleh Ideal Group yang mengubahnya menjadi restoran terapung di tapak pembangunan campuran Queens Waterfront berdekatan Queensbay Mall di sini.

Sebuah lagi dibeli oleh sebuah syarikat Bumiputera dengan rancangan untuk menaiktarafkannya menjadi muzium terapung.

Chew berkata PPC memberi peluang yang mencukupi kepada sektor swasta untuk mengambil alih tetapi tiada sesiapa yang benar-benar mengemukakan cadangan komprehensif untuk menyelamatkan empat feri yang masih tinggal pada tahun 2018. – 25 Julai, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen