AKHBAR pro pembangkang Mingguan Malaysia terus menggambarkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebagai pejuang komunis walaupun mahkamah sudah membebaskan beliau daripada tuduhan fitnah berkaitan isu itu.
Dalam ruangan pojok Awang Selamat, akhbar itu mendakwa yang pelantikan Mohamad- atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu- sebagai menteri pertahanan akan banyak mengundang persepsi negatif.
Akhbar itu mengambil contoh dakwaan kononnya Mohamad mengagungkan pejuang komunis.
“Selepas ini jeneral dan para pegawai kanan tentera akan tabik kepada beliau yang diwarnai beberapa kontroversi. Ini termasuk mengangkat pejuang komunis sebagai wira yang menghiris hati anggota pasukan keselamatan,” kata Awang Selamat.
Bagaimanapun, akhbar itu tidak mengulas lanjut ketokohan dan kesesuaian Mohamad untuk menjawat jawatan menteri kanan persekutuan itu. Sebaliknya, dengan nada sinis meminta pembaca memberi peluang kepada Mohamad.
“Berilah peluang kepada Mat Sabu dan kita nilailah kemudian. Manalah tahu beliau boleh menjadi Menteri Pertahanan yang hebat,” katanya.
Kontroversi komunis itu bermula pada Ogos 2011, apabila Mohamad didakwa memfitnah dengan tujuan mencemarkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dalam ucapan di sebuah tadika di Tasek Gelugor, Butterworth.
Bagaimanapun, Mohamad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie. – 13 Mei, 2018.
Komen