PERTELINGKAHAN yang dimulakan oleh beberapa ahli politik Pakatan Harapan (PH) berkenaan kedudukan dalam Kabinet tidak menghormati pengundi Malaysia dan tidak mempamerkan keyakinan, kata bekas presiden Badan Peguam Malaysia Christopher Leong.
Dalam satu kenyataan, peguam kanan itu berkata beliau kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan sebaik sahaja Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan tiga menteri utama dalam Kabinet semalam.
“Mengecewakan dan tidak wajar,” kata Leong walaupun beliau tidak menyebut mana-mana ahli politik atau parti tertentu.
Kenyataan beliau itu menyusul selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata nama-nama yang diumumkan oleh Dr Mahathir itu tidak mewakili konsensus Majlis Presiden PH dan bagi PKR perbincangan mengenai pilihan Kabinet masih lagi berjalan.
Tindakan Rafizi disokong oleh Ahli Parlimen Subang Jaya PKR Wong Chen, yang juga mempersoalkan mengapa PKR, sebagai parti yang memenangi bilangan kerusi paling banyak dalam kalangan parti PH, tidak diberi jawatan utama.
Dr Mahathir semalam mengumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan persetujuan semua parti PH sebelum PRU14, tidak hadir ketika Perdana Menteri mengumumkan nama-nama berikut semalam. Ini memberi spekulasi bahawa terdapat perselisihan dalam terhadap pemilihan menteri Kabinet.
Jelas Leong, perselisihan ini tidak menghormati sejumlah besar rakyat Malaysia yang telah memberi kemenangan kepada pembangkang dengan jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk mencorak perubahan yang lebih baik buat Malaysia.
“Harus diingat bahawa masa sekarang dan masa depan Malaysia bukan mengenai aspirasi peribadi anda terhadap kedudukan (menteri), ini bukan tentang parti politik anda, dan sudah tentu bukan tentang pendapat anda mengenai kelayakan anda untuk pembahagian atau agihan jawatan selepas menang.
“Ingatlah, pada saat yang bersejarah ini, ini adalah masa untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk kita semua. Jangan tunjukkan kepada kami yang anda sama sahaja seperti orang-orang sebelum ini - yang merebut kedudukan dan ganjaran.
“Kemenangan dalam PRU14 bukan milik anda, ia milik kami, Rakyat. Jadi hentikan perselisihan dan terus mentadbir negara dengan jayanya. Bersatulah,” kata Leong.
Seorang lagi bekas presiden Badan Peguam yang juga peguam dan aktivis hak asasi manusia terkenal, Ambiga Sreenevasan semalam turut menyelar tindakan PKR itu dengan berkata,” PKR, hentikan tindakan mengarut ini segera.” – 13 Mei, 2018.
Komen