Berjaya ubah negeri, Guan Eng tinggalkan Pulau Pinang dengan bangga


The Malaysian Insight

BAGI Lim Guan Eng yang baru sahaja dilantik jadi menteri kewangan, meninggalkan Pulau Pinang selepas berkhidmat sebagai ketua menteri selama 10 tahun mewujudkan perasaan bercampur baur antara kebanggan dan kehilangan.

“Saya tak sanggup pergi. Saya rasa hilang, kerana terpaksa tinggalkan Pulau Pinang yang saya sayang,” katanya kepada wartawan pagi ini.

Beliau mengunjungi pusat penjaja dan pasar di kawasannya, Air Putih untuk berterima kasih kepada pengundi untuk sokongan mereka dan memberikan bunga kepada ibu-ibu sempena Hari Ibu hari ini.

“Pulau Pinang adalah negeri pertama yang beri kami peluang untuk tunjukkan yang kami boleh tadbir lebih baik daripada Barisan Nasional.”

Lim yang menerajui kerajaan pembangkang di Pulau Pinang untuk tiga penggal berturut-turut mengatakan negeri itu merupakan pencetus pencapaian PH kepada rakyat Malaysia.

“Kami tunjuk yang kami boleh ubah Pulau Pinang yang sedang jatuh, kepada sebuah bandar antarabangsa pintar yang menarik dan dipenuhi optimisme.

“Kami tunjuk yang kehidupan rakyat boleh jadi lebih baik. Saya rasa rakyat pun rasa begitu. Kita berjaya bekerjasama untuk jadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat,” katanya.

Lim mengatakan beliau akan menggunakan apa yang dipelajarinya di Pulau Pinang supaya kejayaan negeri itu boleh disebarkan ke seluruh Malaysia.

“Selepas 10 tahun, kita boleh kata yang kita bangga jadi Penang Lang.

“Harapnya lima tahun lagi, kita semua akan bangga untuk kata kita anak bangsa Malaysia.”

Lim juga mengatakan PH Pulau Pinang akan mengadakan ceramah malam esok di Esplanade, Georgr Town untuk meraikan Ketua Pulau Pinang baru, Chow Kon Yeow.

“Ia juga ceramah perpisahan untuk saya. Saya tak ada peluang nak melawat seluruh negeri untuk berterima kasih kepada sokongan semua, jadi saya harap tuan puan akan dapat sertai kami,” katanya – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen