MCA kekal relevan jika cemerlang jadi pembangkang, kata penganalisis


The Malaysian Insight

ADAKAH MCA menanti hari-hari terakhirnya selepas hanya menang satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN pada PRU14?

Penganalisis politik berkata parti mewakili kaum Cina itu perlu menilai kembali kedudukannya dalam politik Malaysia selepas ditolak pengundi Cina.

“MCA mahu mewakili orang Cina tetapi mereka tak mahu MCA jadi wakil mereka lagi. MCA perlu ubah diri sendiri.

“Mereka boleh pertimbangkan guna pendekatan isu seperti DAP dalam politik,” kata penganalisis politik Tang Ah Chai.

Selaku sebahagian daripada pembangkang, Tang mengatakan MCA masih boleh memainkan peranan dengan mengawal eksekutif.

Seorang lagi pemerhati politik Cina Malaysia, Koh Kok Wee mengatakan MCA boleh menebus maruah mereka jika cemerlang menjalankan peranan pembangkang.

Parti itu juga perlu menyingkirkan kepimpinan tertinggi dan menggantikannya dengan pemimpin muda pada pemilihan parti seterusnya.

“Daripada menuding jari ke arah Umno, MCA juga perlu menilai kembali diri mereka, termasuklah pergaduhan dalaman, politik naungan dan amalan mencampurkan kepentingan politik dan perniagaan,” katanya.

Dr Phoon Wing Keong, pengarah Pusat Kajian Umum Southern University College berkata tidak penting sama ada MCA keluar daripada Barisan Nasional walaupun wujud cakap-cakap ia boleh meraih kembali keyakinan rakyat.

“Kita tak ingat pun nama kebanyakan calonnya selepas pilihan raya,” kata Phoon.

Beliau menganggarkan MCA akan kehilangan antara 1,000 dan 2,000 jawatan sebagai ahli majlis tempatan dan ketua kampung selepas BN kalah di Melaka, Kedah dan Negeri Sembilan. Negeri lain di bawah pentadbiran PH sekarang adalah Perak dan Johor selain Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimanapun, MCA masih lagi parti kaya dan mempunyai 500,000 ahli dan rangkaian akar umbi yang kukuh.

Walaupun hilang kuasa, parti itu akan terus mampu bertahan kerana kekayaan yang dimiliknya, kata penganalisis.

Tetapi, soal relevan atau tidak parti itu akan terus jadi persoalan melainkan ia berjaya menjadi pembangkang yang bagus. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen