UTUSAN Malaysia dan Media Prima Berhad yang dikawal Umno akan distruktur semula selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Mohamad Fatmi Che Salleh.
Utusan Malaysia akan dirombak dan dikemas kini untuk memenuhi cabaran baru yang akan dibawa oleh kerajaan baru, kata Mohamad Fatmi Che Salleh.
Pengerusi Kumpulan Utusan itu berkata ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan berkemungkinan besar akan diganti dan akhbar berbahasa Melayunya akan diberi haluan baru.
“Lembaga Pengarah hanya boleh fikir hala tuju sahaja, akhirnya pelaksanaan dasar itu mesti dilaksanakan oleh pihak pengurusan dan semua pekerja,” katanya ketika mengadakan mesyuarat tertutup bersama Umno Bahagian Kota Bharu semalam.
Bagaimanapun, Mohamad Fatmi enggan memberi butiran lanjut mengenai cadangan perubahan berkenaan.
Menerusi surat pekeliling yang dihantar kepada kakitangan oleh jabatan komunikasi korporat kumpulannya, pengurusan Media Prima memberitahu ia perlu “menyesuaikan diri dengan perubahan dan menangani cabaran baru”.
Media Prima berkata keadaan ini pernah dilalui pada masa lalu dan syarikat itu yakin ia dapat mengharungi cabaran baru yang akan dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kerja akan berjalan seperti biasa. Kami akan bekerja keras untuk mencari lebih banyak peluang untuk pertumbuhan dan mengatasi cabaran yang mendatang. Kami mengalu-alukan kerjasama dan sokongan yang berterusan dari and untuk meghadapi masa depan,” surat itu menyebut.
Akhbar Utusan yang menjadi lidah rasmi Umno sejak Merdeka sentiasa menyiar kritikan keras terhadap pembangkang, terutamanya DAP.
Beberapa pemimpin parti itu, termasuk Lim Guan Eng, Tony Pua dan Teresa Kok telah mengheret Utusan ke mahkamah dan mendapat kemenangan besar atas laporan fitnah terhadap mereka yang diterbitkan akhbar itu.
Namun, serangan ke atas DAP tidak pernah berhenti.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Utusan Malaysia menerbitkan maklumat infografik yang memberi amaran mengenai “virus DAP” serta masalah yang mungkin timbul di bawah kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH).
Dalam imej yang bertanda “InfoPRU” yang dicetak pada muka surat 10 sisipan pilihan raya, akhbar itu menampilkan tajuk berbunyi, “Awas virus DAP”.
Di bawah tajuk ini, terdapat label-label dengan tanda “semak” disebelahnya.
Label-label ini termasuk sekular, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT); chauvinis, pemecah etnik; perkuda Melayu; mahu mengubah Perlembagaan Persekutuan; mempersoalkan hak-hak Melayu, Islam; anti Islam. – 13 Mei, 2018.
Komen