BERASASKAN kedudukan Bersatu dalam Pakatan Harapan yang dilihat kerdil berbanding tiga rakan lain, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedang menggunakan pengaruh besar politiknya untuk membawa masuk sekutu biasa, lapor akhbar Singapura Straits Times.
Walaupun PH mempunyai 121 kerusi Parlimen, Bersatu yang diterajui Dr Mahathir hanya memegang 13 berbanding PKR (48) dan DAP (42). Satu lagi parti muda, Amanah pula hanya memegang 11 kerusi, dan Warisan dari Sabah memiliki lapan kerusi.
Ini menyebabkan kedudukan Dr Mahathir rapuh dan menjadikan kerajaan PH berada dalam kedudukan bahaya jika berlaku kemelut antara parti dalam pakatan pemerintah.
Bagi mengukuhkan kedudukannya, sumber dalaman parti mengatakan Dr Mahathir sedang berbincang dengan Gabenor Sarawak Taib Mahmud yang mempunyai sejarah panjang dengan perdana menteri itu.
Sumber mendakwa Dr Mahathir dan sekutunya, Daim Zainuddin mahu Taib mempengaruhi Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg yang menerajui BN negeri itu untuk berpisah daripada BN dan membawa masuk 19 kerusi memihak PH.
BN Sarawak dijangka membincangkan perkara ini minggu hadapan.
Orang bawahan Dr Mahathir juga dipercayai sedang memujuk pemimpin kanan Umno untuk berpaling tadah kepada PH. Shahidan Kassim dari Perlis dipercayai akan menjadi tokoh membawa kemasukan besar-besaran bekas pemimpin Umno ke dalam PH.
Sumber parti juga menyebut yang selepas pengumuman kabinet Dr Mahathir semalam, PKR tidak berpuas hati apabila portfolio kewangan dan dalam negeri diberikan kepada pemimpin DAP dan Bersatu, tetapi kemelut ini boleh diselesaikan dengan memberikan jawatan kabinet belum diisi kepada parti itu.
Tetapi, pergolakan dalaman Umno yang semakin memuncak boleh memberikan kelebihan kepada PH. Aktivis politik mengatakan ahli Umno yang setia kepada Dr Mahathir mungkin memfailkan saman perundangan bagi mengisytiharkan parti itu haram kerana gagal menjalankan pemilihan parti seperti mana diperlukan perlembagaan parti.
Permohonan kepada mahkamah tinggi untuk mengisytiharkan Umno haram ditolak awal April tetapi penghakiman itu akan dicabar tidak lama lagi.
Sekiranya berjaya, Bersatu akan menjadi parti pelarian pemimpin Umno. – 13 Mei, 2018.
Komen