TOH Hong Keng, seorang datuk berusia 70 tahun berkongsi kisah luar biasa bagaimana beliau menjadi seorang doktor walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19.
Dalam kisah menginspirasi ini Hong Keng yang dilahirkan di Port Dickson berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan pada 2024 dari sekolah perubatan di Universiti Southwestern di Cebu, Filipina.
Beliau bukan sahaja menonjol dengan ketinggian fizikalnya yang luar biasa tetapi juga dengan semangatnya yang tidak pernah pudar walaupun berusia 70 tahun.
Hong Keng ingin membuktikan kepada rakan sebaya bahawa usia hanyalah angka dan boleh terus belajar sepanjang hayat serta tidak pernah berputus asa walaupun berdepan cabaran yang sukar.
Pencapaiannya yang mengagumkan diberi pengiktirafan oleh media antarabangsa. Kisah ini bermula apabila beliau bersara pada usia 65 tahun setelah berkhidmat dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sepanjang hayat kerjanya.
Beliau bertemu dengan rakan jurutera ICT, Cheok Lay Leng yang walaupun sudah bersara lebih awal tetapi memilih untuk meneruskan sumbangan beliau sebagai pengurus korporat Bukit Bendera di Pulau Pinang.
Lay Leng adalah orang yang berkongsi kisah pencapaian cemerlang rakan baiknya Hong Keng kepada media.
Hong Keng berkata beliau tinggal sebagai penduduk tetap di Hong Kong selama 30 tahun yang lalu.
Beliau menghabiskan hampir tiga dekad dalam bidang jualan dan pemasaran di syarikat-syarikat multinasional seperti Hewlett-Packard dan Welch Allyn, memegang jawatan pegawai kanan sehingga persaraan wajibnya pada usia 65 tahun.
Sepanjang perjalanannya Hong Keng menerima sokongan kuat daripada isterinya Margarette Tan, 65 tahun, tiga anaknya dan dua orang cucunya yang memberi semangat dalam usahanya menjadi seorang doktor.
Berkongsi perjalanan ke dalam bidang perubatan, Hong Keng berkongsi beliau terinspirasi oleh dua orang pelajar India yang ditemui semasa lawatan ke Kyrgyzstan.
Mereka memberitahunya di beberapa sekolah perubatan, usia bukanlah halangan bagi mereka yang berminat untuk menjadi doktor walaupun bayaran yuran pengajian agak tinggi.
Hong Keng bersusah payah menyimpan wang dan memilih untuk menuntut ilmu di negara seperti Filipina dan India, di mana kosnya lebih rendah berbanding di Malaysia. Beliau mula menyambung pelajaran pada 2019.
Perjalanan ini menjadi semakin mencabar apabila beliau berusaha untuk memenuhi syarat menjadi seorang doktor — sebuah profesion yang beliau amat hormati.
“Saya terpaksa menghafal seluruh anatomi manusia dan menguasai setiap perincian dengan tepat. Berbeza dengan kejuruteraan yang sering melibatkan pembelajaran praktikal, bekerja dengan tubuh manusia memerlukan pengetahuan yang teliti dan tepat,” kata Hong Keng yang akan menyambut ulang tahun ke-71 pada September ini. – 22 Julai, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen