MAJLIS Penasihat Kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam akan membentuk sebuah pasukan petugas khas bagi membantu siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad, lapor Bernama.
Pengerusinya Daim Zainuddin berkata beliau sudah mengenal pasti individu yang boleh membantu siasatan tersebut.
“Bagi 1MDB akan terdapat pasukan petugas khas. Saya telah mengenal pasti mereka yang dapat membantu siasatan ke atas 1MDB. Ia akan berada di bawah bidang kuasa majlis yang akan mengemukakan laporan kepada kerajaan,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Pentadbiran Najib sebelum ini membentuk sebuah pasukan petugas khas menyiasat 1MDB yang dianggotai bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail; bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar; bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Abu Kassim Mohamed dan bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz.
Pasukan itu bubar selepas Gani dipecat daripada jawatannya dan digantikan dengan Mohamed Apandi Ali, yang tidak lama selepas itu mengumumkan Najib tidak terlibat rasuah dalam siasatan berhubung 1MDB.
Majlis Penasihat Kerajaan yang bermesyuarat sehingga tengah malam tadi turut mahu diberikan taklimat oleh Unit Kerjasama Awam Swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri dan kementerian berkaitan mengenai projek mega yang dilaksanakan oleh pentadbiran Najib Razak.
Majlis itu juga akan memanggil beberapa syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan (GLC) termasuk Tabung Haji serta agensi kerajaan seperti Felda dan Mara, untuk memberi taklimat mengenai tadbir urus mereka.
Majlis penasihat yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam turut dianggotai Zeti; bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Mohd Hassan Marican, ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram serta ahli perniagaan, Robert Kuok.
Kuok tidak menghadiri mesyuarat pertama majlis itu malam tadi tidak kerana berada di luar negara.
Daim memberitahu Bernama, mesyuarat pertama majlis itu turut membincangkan keadaan ekonomi semasa, hutang negara, kedudukan ringgit, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta subsidi minyak.
“Ini antara perkara utama. Kami membuat cadangan kepada kerajaan, dan mereka akan membuat keputusan,” katanya.
Majlis itu juga akan meneliti dan menangani isu lebihan penawaran ruang pejabat dan perumahan.
Menurut Daim, majlis itu akan bermesyuarat setiap hari selama 100 hari.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan dalam masa 100 hari. Selepas itu, saya mahu berehat,” katanya. – 13 Mei, 2018.
Komen