Polis nafi serbu kondominium milik keluarga Najib


The Malaysian Insight

KETUA Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim mengatakan kehadiran polis di blok kondominium mewah di Kualau Lumpur hanyalah untuk memeriksa rakaman CCTV dan mendapatkan keterangan pengawal keselamatan selepas menerima laporan daripada ahli Bersatu.

“Susulan laporan itu, kita pergi ke lokasi untuk melakukan proses siasatan dan bukannya melakukan serbuan seperti yang didakwa agensi berita berkenaan,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Tindakan polis itu dilakukan susulan aduan dilakukan dua pemimpin Pemuda Bersatu. Dalam laporan difailkan kepada polis semalam, Pemuda Bersatu mendakwa sebuah van dengan logo Jabatan Perdana Menteri menghantar kotak-kotak berisi 50 beg tangan jenama Birkin ke Pavilion Residences pada petang Khamis lalu.

Mereka mendakwa kotak itu tercatat nama penerimanya; Rosmah Mansor.

Dua keping gambar yang disertakan bersama laporan polis itu menunjukkan sebuah van dengan logo JPM dan sebuah troli dipenuhi kotak berwarna oren. Lokasi, tarikh dan isi kotak itu- sama ada dipenuhi dengan beg mewah- tidak dapat ditentukan berdasarkan gambar tersebut.

Laporan polis menyebut yang setiap satu beg jenama Birkin itu bernilai US$200,000 (RM800,000).

Laporan media asing menyebut hampir 20 anggota polis memasuki blok kondomonium mewah Pavillion Residences di Kuala Lumpur semalam.

Dikatakan, mereka turut ditemani sejumlah anggota polis berpakaian awam. Anggota keselamatan bangunan itu- yang dimiliki oleh Desmond Lim, hartawan Malaysia yang rapat dengan Najib- memberikan kerjasama penuh. – 13 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen