LIM Guan Eng sebagai menteri kewangan bukan sekadar gambaran Malaysia Baru minggu ini tetapi juga pilihan yang dilakukan penuh cermat berdasarkan rekod pencapaiannya mengendalikan ekonomi Pulau Pinang sejak 2008.
Kabinet baru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sangat penting dan diperlukan untuk menguruskan negara serta mengukuhkan kesamarataan antara empat parti dalam Pakatan Harapan yang menewaskan Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.
Pilihan paling kontroversinya adalah Guan Eng yang disifatkan sumber dalaman ditentang PKR kerana parti itu mahukan jawatan itu diberikan kepada Rafizi Ramli yang tidak bertanding pada PRU14 kerana sabitan kesalahan jenayah.
Hakikat depan mata Dr Mahathir mudah. Beliau tetap dengan pilihannya kerana Guan Eng berjaya menguruskan Pulau Pinang dengan baik selama dua penggal selepas menang PRU2008.
Pengiraan Penang Institute dikeluarkan tahun lepas menunjukkan yang KDNK negeri per kapita bertambah sejak 2009 sehingga 2015, setahun selepas kerajaan Pakatan Rakyat berkuasa.
Satu lagi kelebihan Guan Eng untuk jawatan penting itu adalah pengalamannya bekerja dengan penjawat awam. Pada penggal pertamanya, Guan Eng mempunyai banyak masalah bekerja dengan mereka yang selama ini selesa dengan ahli politik Umno.
Beliau berjaya meraih hati sebilangan mereka, atau beliau hapuskan sahaja penentangan dalam diam itu- situasi yang biasa berlaku di empat negeri dimenangi Pakatan Rakyat pada 2008. Tetapi, beliau tak pernah tunduk.
Lebih daripada itu, Dr Mahathir mahukan kabinet pertamanya menghantar isyarat jelas kepada Malaysia dan pasaran ekonomi, kata sumber lagi.
“PKR cadangkan nama Rafizi tetapi sabitannya di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan menjadikannya bukanlah pilihan terbaik. Dia juga tak boleh dilantik jadi senator sehingga rayuan sabitannya berjaya,” kata sumber yang mengetahui proses pertimbangan yang berlaku sehingga melambatkan pengumuman kabinet semalam.
“Benda mudah sebenarnya, Dr Mahathir perlu memilih yang terbaik antara pemimpin Pakatan untuk kerja itu. Dia pilih yang paling layak,” kata sumber itu lagi apabila ditanya tentang kenyataan Rafizi yang mendakwa senarai kabinet itu belum dipersetujui PKR. – 13 Mei, 2018.
Komen