SABAH tidak berdepan krisis Perlembagaan, kata Ketua Menteri baru dilantik Shafie Apdal menjelaskan yang pesaingnya Musa Aman enggan meletak jawatan walaupun diminta berbuat demikian oleh Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.
Menurut Shafie, beliau adalah ketua menteri yang sah kerana mendapat majoriti Dewan dan mandat rakyat dan Musa boleh membawa kes itu ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati.
“Kami minta semua wakil rakyat tandatangan deklarasi yang mereka bersama Warisan dan selepas Istana Negeri menilainya dan yakin dengan kami, mereka meminta Musa datang menghadap di Istana.
“Gabenor memintanya untuk meletak jawatan kerana dia tiada majoriti,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah malam tadi.
Shafie berkata tidak wujud krisis Perlembagaan di Sabah kerana jelas dinyatakan dalam Perkara 7 (1) yang jika ketua menteri gagal memperoleh keyakinan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, dan kecualilah atas permintaaanya ketua negeri membubarkan dewan, ketua menteri perlu meletak jawatan sebagai ahli kabinet.
Shafie berkata wujud kes sebegitu sebelum ini seperti krisis Perlembagaan Perak pada 2009 dan krisis Perlembagaan Sabah 1985 melibatkan Presiden Usno ketika itu, Tun Mustapha yang gagal menjadi ketua menteri kerana tidak ada majoriti.
“Saya juga ingat ketika Umno ambil alih kerajaan daripada PBS pada 1995, saya ingat kami serahkan surat kepada Yang di-Pertua Negeri ketika itu, Tun Said Keruak yang wakilr rakyat PBS sudah keluar parti.
“Said Keruak kemudian panggil Presiden PBS Joseph Pairin dan saya ingat Pairin tahu undang-undang dan kerana adabnya, dia meletak jawatan disebabkan dia tahu dia sudah hilang majoriti,” katanya.
Shafie juga mengatakan beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan Perlembagaan Negeri untuk mencalonkan enam Adun dan juga akan mendedahkan senarai kabinetnya tidak lama lagi. – 13 Mei, 2018.
Komen