GHAZALI adalah bekas pemimpin Pemuda Umno di Marang, Terengganu dan penyokong tegar Barisan Nasional (BN).
Tetapi pada 9 Mei, pengurus restoran berusia 33 tahun dan kawan-kawannya yang juga penyokong Umno tidak memberikan undi mereka kepada parti yang mereka sayangi dan selama ini perjuangkan.
Ghazali adalah seorang daripada ribuan ahli Umno aktif yang dipercayai pemimpin parti melakukan undi protes, seterusnya menyebabkan kehilangan 33 kerusi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)- kekalahan terburuknya sepanjang ditubuhkan.
“Kami sayangkan Umno. Kami sayangkan Barisan Nasional. Tetapi kami tahan dengan Najib Razak, kami mahu singkirkannya,” kata Ghazali kepada Malaysia Decides.
Bagi Ghazali, bekas Presiden Umno Najib Razak adalah liability parti kerana penglibatannya dalam skandal kewangan dan dasar membebankan rakyat- terutama sekali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Najib meletak semua jawatan dalam Umno dan BN semalam.
Aktivis yang aktif berkempen untuk Umno percaya pemberontakan ahlinya dan penyokong tradisi adalah faktor penentu dalam kejatuhan luar jangka dari Terengganu sehinggalah ke Lembah Klang dan kubu kuatnya di Johor.
“Kami hilang pemimpin yang popular dan dihormati akar umbi. Mereka ini adalah pemimpin yang bekerja keras,” kata Rizal Zulkifli dari Umno Segambut.
Antara pemimpinnya yang kalah dalam PRU14 adalah bekas Pengerusi Felda Shahrir Samad di Johor, bekas menteri kabinet Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Lembah Pantai dan Ahmad Shabery Cheek di Kemaman. Bekas Menteri Besar Johor Khaled Nordin dan bekas Ketua Menteri Mohd Ahli Rustam turut tersungkur.
Shahrir misalnya tewas dengan majoriti undi 29,000 pada 2018 walaupun menang dengan beza undi selesa 10,100 pada 2013.
Satu lagi kejutan besar adalah Raja Nong Chik yang bekerja keras untuk merampas Lembah Pantai daripada Pakatan Harapan.
“Fahmi hanyalah budak muda yang masuk kampung kami. Program Raja Nong Chik disertai ramai orang dan beliau mula berkhidmat kepada kawasan tanpa henti sejak sembilan tahun lalu,” kata aktivis Umno Lembah Pantai Roslan Rasili.
Penjelasan terbaik untuk kekalahannya adalah Umno hilang undi penghuni flat kos rendah yang merupakan asas sokongannya di Lembah Pantai. Satu lagi kumpulan yang tidak memberikan sokongan signifikan adalah anggota polis Bukit Aman- penyokong tradisi Umno- yang mengundi Fahmi.
Di Terengganu, pemilihan calon Umno adalah gambaran keretakan kesatuan dalam negeri antara bekas Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan pemimpin veteran di lapan bahagian negeri itu, kata pakar sains politik Dr Mazlan Ali.
“Ahli Umno ada masalah menyokong sekurang-kurangnya lapan calon baru. Mereka dikatakan kroni yang dipilih berbanding ketua bahagian yang lebih dikenali,” kata Mazlan yang membuat tiga kajian di negeri Pantai Timur sebelum dan selepas pilihan raya.
Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi mengatakan perkara sama berlaku di Johor apabila ketua bahagian tidak dijemput untuk mesyuarat pemilihan calon. Puad menyalahkan Khaled dan Naib Presiden Hishammuddin Hussein kerana salah urus proses pemilihan calon. – 13 Mei, 2018.
Komen