AHLI Parlimen Subang Wong Chen mempertahankan Rafizi Ramli selepas dia diserang oleh pengguna media sosial kerana mengatakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad “buldoze” (memaksa) pelantikan tiga menteri Kabinet.
Malaysiakini memetik Wong sebagai berkata naib presiden itu mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) bermula dengan langkah yang salah.
“Dan kerana itu dia dicerca kebanyakan di kalangan anda. Sikap tidak mempersoalkan autoriti yang tidak sihat inilah punca utama mengapa kita membenarkan Najib dan Rosmah memerintah kita selama sembilan tahun,” katanya di Facebook malam ini.
Beliau merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.
Wong berkata memandangkan PKR adalah parti komponen PH terbesar dalam kerajaan PH, dengan 47 ahli Parlimen dan seorang ahli parlimen bebas yang bersekutu dengan parti, adalah munasabah untuk Rafizi menyuarakan pandangan apabila tiada wakil dari PKR dipilih untuk tiga jawatan kabinet yang diumumkan hari ini.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Presiden Amanah Mohamed Sabu sebagai menteri pertahanan.
“Belum ada untuk PKR, parti terbesar dalam HARAPAN? Jadi apakah tindakan Rafizi yang salah di pandangan orang ramai?
“Beliau menyatkan kebenaran bahawa pelantikan dibuat tanpa restu PKR. Kemudian beliau beritahu Dr Mahathir akan bertemu Anwar di hospital untuk mendapatkan pandangannya dan berharap mereka akan dapat meperbetulkan isu ini,” katanya.
Rafizi dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan Dr Mahathir menamakan tiga menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) hari ini sebagai keputusan sepihak dan tidak muktamad.
Naib Presiden PKR itu berkata, perbincangan masih dijalankan dan pelantikan kabinet memerlukan persetujuan kesemua empat parti komponen PH.
Aktivis hak asasi manusia terkemuka dan peguam Ambiga Sreenevasan mengkritik kenytaan Rafizi tersebut dengan berkata: “PKR, tolong hentikan karut-marut kamu.” – 12 Mei, 2018.
Komen