Pilihan raya baru jika ahli Parlimen ingin tukar parti, kata Bersih


The Malaysian Insight

AHLI Parlimen yang ingin menukar parti mesti meletak jawatan, dan pengundi mesti dibenarkan mengundi semula, kata pemerhati pilihan raya Bersih 2.0.

Kenyataan kumpulan itu susulan pertemuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar, yang mencetuskan khabar angin penggabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

“Jika wakil rakyat memilih mengubah kedudukan mereka berkaitan parti yang mereka wakili, maka mereka harus meletak jawatan dan mengosongkan jawatan mereka, dan membenarkan pengundi memutuskan wakil pilihan mereka yang baru,” kata Bersih.

Ia berkata sebarang perubahan kepada BN Sarawak akan memerlukan pilihan raya baru.

“Berkenaan dengan Sarawak, pada pilihan raya negeri 2016, pengundi memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri. Sebarang perubahan dalam kedudukan atau gabungan di negeri ini perlu dilakukan melalui proses pilihan raya baru.”

Bersih mempertahankan pendiriannya menentang wakil rakyat lompat parti selepas pilihan raya.

“Ini bertentangan dengan prinsip pilihan raya, di mana para wakil rakyat dipilih oleh pengundi berdasarkan gabungan, prinsip dan manifesto parti.” – 12 Mei 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen