Ambiga selar Rafizi atas kenyataannya mengenai Kabinet


The Malaysian Insight

AKTIVIS hak asasi manusia terkemuka dan peguam Ambiga Sreenevasan mengkritik Rafizi Ramli yang menuduh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad “buldoze” (memaksa) pelantikan tiga ahli Kabinet hari ini

“PKR, tolong hentikan kekarutan anda,” kata bekas pengerusi Bersih itu menerusi Twitter.

Rafizi menyifatkan tindakan Dr Mahathir menamakan tiga menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) hari ini sebagai keputusan sepihak dan tidak muktamad.

Naib Presiden PKR itu berkata, perbincangan masih dijalankan dan pelantikan kabinet memerlukan persetujuan kesemua empat parti komponen PH.

“Keadilan beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad,” katanya selepas Dr Mahathir mengumumkan nama menteri kewangan, menteri pertahanan dan menteri dalam negeri.

Dr Mahathir hari ini mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden Bersatu Muhyddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Presiden Amanah Mohamed Sabu sebagai menteri pertahanan.

Pengerusi PH berkata senarai 25 ahli Kabinet lain akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang, dan beberapa menteri dari Sabah dan Sarawak akan turut dilantik.

Rafizi berkata kenyataannya itu dikeluarkan sebagai respons kepada pertanyaan mengenai ketiadaan pemimpin kanan PKR semasa pengumuman Dr Mahathir hari ini. Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak hadir. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen