AMANAH mempertikaikan kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang pelantikan Kabinet diumumkan hari ini dilakukan tanpa persetujuan PKR.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata pelantikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini sudah dibincangkan oleh mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) awal hari ini.
“Keputusan dicapai melalui perbincangan di kalangan ahli yang hadir dengan baik.
“Tidak siapa yang bawa ‘buldoza’ untuk ‘buldoze’ (memaksa) segala keputusan yang dibuat,” kata Khalid.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Mohamed Sabu sebagai menteri pertahanan.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak hadir pada pengumuman itu.
Ini menyebabkan Rafizi membantah pelantikan itu, mengatakan ia adalah keputusan sebelah pihak Dr Mahathir.
Rafizi berkata pemilihan Kabinet masih dibincangkan dan memerlukan persetujuan semua parti dalam PH.
Turut dilantik dalam mesyuarat tadi adalah satu Majlis Penasihat Kerajaan.
Mereka ialah Daim Zainuddin (bekas menteri kewangan), Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara), Mohd Hassan Marican (bekas presiden Petronas) Robert Kuok (ahli perniagaan) dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi). – 12 Mei 2018.
Komen