'Saya rakyat Malaysia', jawapan Guan Eng dipuji pengguna media sosial


The Malaysian Insight

RESPONS diberikan Lim Guan Eng semasa menjawab soalan semasa sidang akhbar pertamanya sebagai menteri kewangan hari ini mendapat pujian pengguna media sosial.

Ditanya oleh seorang wartawan mengenai perasaannya menjadi menteri kewangan berbangsa Cina yang pertama di Malaysia sejak lebih 40 tahun, beliau berkata: “Saya minta maaf, saya tidak menganggap diri saya orang Cina, saya rakyat Malaysia.”

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang setiausaha agung DAP itu akan dijadikan menteri kewangan, Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi menteri dalam negeri.

Pengguna Facebook Aruna Sena mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru menjadi seperti Lim dan tidak memainkan isu kaum.

“Pengumuman paling penting bukanlah barisan Kabinet, tetapi menteri kewangan kami, Lim Guan Eng, ‘menyekolahkan’ seorang wartawan dengan mengatakan beliau tidak menganggap dirinya seorang Cina, tetapi rakyat Malaysia.

“Saya rasa sudah tiba masanya anda turunkan semua ‘pengenalan diri berdasarkan bangsa’ dan mula memanggil diri anda rakyat Malaysia.”

Sesetengah pengguna media sosial mendapati agak lucu dengan pemilihan Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, diberikan portfolio pertahanan.

Mereka berkata beliau mungkin tidak serius semasa mesyuarat dan “mungkin membaling mikrofon ketika marah”, merujuk kepada apa yang dilakukannya semasa sesi ceramah di Sungai Buloh dua tahun lalu.

“Mat Sabu dan mikrofonnya dipilih sebagai menteri pertahanan,” kata Amin Romli.

Pelantikan Muhyiddin sebagai menteri dalam negeri mendapat sokongan, dengan beberapa pengguna media sosial mengatakan ini akan membolehkannya menangkap bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor, memandangkan beliau kini akan bertanggungjawab terhadap polis.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Muyiddin, pengguna Facebook Rickee Lee berkata pastinya ia akan membuatkan Najib dan Rosmah tidak lena tidur selepas ini. – 12 Mei 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen