Ketua DAP Pulau Pinang angkat sumpah ketua menteri Isnin


The Malaysian Insight

PENGERUSI DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dijangka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri kelima negeri itu pada Isnin, lapor Bernama.

Laporan itu, yang memetik seorang wakil rakyat berkata DAP merancang perkara itu lebih awal.

“Besar kemungkinan, beliau (Chow) akan mengangkat sumpah (sebagai ketua menteri) pada Isnin. Tetapi dalam politik, apa pun boleh berlaku, jadi tunggu sahaja pengumuman rasmi oleh parti.”

Beliau berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang kini diumumkan sebagai menteri kewangan Pakatan Harapan (PH) baru, beberapa kali memberi petanda yang Chow akan menggantikannya sebagai ketua menteri.

Beliau menambah Lim berkata, semasa pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), keputusan meletakkan Chow di Parlimen Tanjong dan Padang Kota adalah sebahagian daripada rancangan penggantian parti itu.

Chow berkata barisan exco baru Pulau Pinang mungkin terdiri daripada sekurang-kurangnya dua muka baru, tetapi “tiada apa yang dimuktamadkan”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu menurut Bernama berkata ketua menteri akan mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Abdul Rahman Abbas sebelum barisan exco diumumkan pada Rabu.

Jemputan sudah dihantar bagi majlis berkenaan yang akan diadakan pada Isnin di Sri Mutiara. – 12 Mei 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen