NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pelantikan tiga menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) sebagai belum muktamad dan tidak mendapat persetujuan parti komponen gabungan tersebut.
Beliau berkata, perbincangan masih dijalankan dan pelantikan kabinet memerlukan persetujuan kesemua empat parti komponen PH.
“Keadilan beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad,” katanya selepas Dr Mahathir mengumumkan nama menteri kewangan, menteri pertahanan dan menteri dalam negeri.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden Bersatu Muhyddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Presiden Amanah Mohamed Sabu sebagai menteri pertahanan.
Pengerusi PH berkata senarai 25 ahli Kabinet lain akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang, dan beberapa menteri dari Sabah dan Sarawak akan turut dilantik.
Rafizi berkata kenyataannya itu dikeluarkan sebagai respons kepada pertanyaan mengenai ketiadaan pemimpin kanan PKR semasa pengumuman Dr Mahathir hari ini. Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak hadir.
Kenyataan Rafizi dikritik oleh aktivis hak asasi manusia dan peguam Ambiga Sreenevasan, yang menulis di Twitter, “PKR, tolong hentikan kekarutan kamu.” – 12 Mei, 2018.
Komen