Perihal raja-raja, Tony Fernandes dan Malaysia baru


The Malaysian Insight

Raja-raja cepat belajar

SEBELUM hari pengundian pada 9 Mei, ada kebimbangan raja-raja Melayu akan berkempen secara terbuka untuk Barisan Nasional atau sekurang-kurangnya membayangkan kecenderungan supaya kerajaan sedia ada dikekalkan.

Bagaimanapun juga, semua mereka ada kepentingan dalam sistem politik yang stabil, tempat peluang perniagaan untuk kelompok elit melata. Selebihnya, kebanyakan anggota kerabat menikmati hubungan simbiotik dengan Umno, hubungan yang terjalin sejak berdekad-dekad lamanya.

Jadi ada kebimbangan yang ketara apakah Raja-Raja Melayu – yang masih berpengaruh terhadap orang Melayu – dapat menerima perubahan kerajaan.

Pada hari-hari menjelang pengundian, banyak raja-raja membuktikan mereka cepat belajar. Selepas campur tangan kurang bijak Tengku Mahkota Johor untuk mengangkat Barisan Nasional dan menghentam Mahathir Mohamad, raja-raja faham bahawa mood rakyat Malaysia sudah berubah.

Beberapa sultan bertanya-tanya kepada rakan-rakan daripada pelbagai kelompok dalam masyarakat untuk penjelasan apakah hadirin yang besar dalam ceramah Pakatan Harapan benar-benar sokongan ke arah perubahan atau hanya mereka yang berhimpun atas rasa ingin tahu.

Beberapa orang sultan juga mendapatkan laporan risikan mereka sendiri sepanjang tempoh kempen.

Dengan latar ini, raja-raja terus berkecuali.

Jangan lupa, hubungan antara banyak sultan dan Dr Mahathir Mohamad tidaklah mesra. Mereka tidak lupa pengalaman semasa kali pertama beliau jadi perdana menteri apabila beliau mencabar institusi raja-raja dan menang.

Dalam proses itu, beliau memperkecilkan mereka. Mereka ingat penghinaan itu. Mereka ingat bagaimana terhakisnya kuasa mereka.

Tetapi mereka juga tahu bahawa Dr Mahathir dan PH mewakili kehendak banyak rakyat Malaysia – kuasa yang tidak akan menerima sebarang usaha untuk meremehkan atau mencairkan kemenangan yang dicapai pada hari pengundian itu.

Walaupun ada rasa kurang senang terhadap Dr Mahathir dan barangkali lebih suka berurusan dengan pemimpin Umno yang lain, raja-raja tahu arus sudah berubah.

Malaysia sudah bersuara.Dilema membuat pilihan

Lim Kang Ho sepatutnya risau.

Beliau memainkan peranan dalam kekalahan tipis pemimpin DAP yang dihormati, Liew Chin Tong. Pimpinan kanan DAP tidak akan memaafkannya.

Beliau yang dikenali sebagai orang yang menukarkan tanah paya di Johor jadi apa yang sekarang ini dikenali sebagai Iskandar dan peneraju syarikat disenaraikan Ekovest, Lim selama ini ada hubungan akrab dengan pemimpin BN sejak berdekad-dekad, termasuk Hishammuddin Hussein, Abdul Ghani Othman dan pemimpin MCA.

Seperti kebanyakan ahli perniagaan yang pintar, beliau melindungi dirinya dengan menyumbang dana kepada kedua-dua belah pihak.

Tetapi pemimpin DAP menyalahkannya kerana membantu Wee Ka Siong dari MCA untuk kekal di kerusi parlimen Ayer Hitam dengan kelebihan 303 undi. Walaupun mereka menerima bahawa sebagai ahli perniagaan, Lim berhak menyumbang kepada mana-mana parti yang beliau suka, pemimpin DAP mengatakan beliau aktif berkempen untuk Wee.

Dengan berbuat demikian, beliau bersubahat dalam kekalahan Liew, pencetus utama idea di sebalik strategi meletakkan tokoh besar bertanding di Johor dan mencabar BN di kubu kuatnya.

Pada masa ini, yang ada hanyalah kemarahan terhadap Lim. Beberapa hari mendatang, ia mungkin diterjemahkan kepada menyemak semula sekian banyak kontrak beliau dengan kerajaan.

Malah, mana-mana tokoh korporat yang menyumbang dan berkempen secara terbuka untuk Najib Razak dan BN sepatutnya mula bimbang.

Tiada ampun untuk Tony Fernandes

Betapa Tony Fernandes berharap masa boleh diputar semula.

Bagaimana beliau berharap kembali ke masa itu, bersiram puji-pujian dari serata rakyat Malaysia.

Beliau sudha rugi sejak klip video beliau mendukung Najib Razak dan dianggap berkhutbah kepada rakyat bagaimana untuk mengundi dengan fakta dan bukan cakap orang.

Beliau rugi banyak sejak menyelimut pesawatnya dengan warna BN.

Harga saham Air Asia jatuh. Pelan masa depannya untuk menguruskan terminal tambang murah di serata negara tampak lebih sukar berbanding sebelumnya.

Tetapi harga saham boleh naik semula dan pelan bisnes boleh diperkenalkan kembali suatu masa nanti.

Apa yang menyebabkan Fernandes rugi ialah beliau hilang rasa kasih dan kagum rakyat. Beliau sudah biasa dipuji kerana meletakkan Air Asia dan Malaysia di peta dunia.

Menjadi orang yang dikecam adalah pengalaman baru yang menginsafkan baginya.

Sejak beberapa hari lalu, beliau bertungkus-lumus untuk mendapatkan semula perhatian daripada pentadbiran baru ini.

Itu akan berlaku suatu hari nanti.

Tetapi di mata rakyat Malaysia lambat lagi mereka akan memberi ampun padanya. Tidak ada kata-kata atau surat sokongan yang boleh membuat rakyat Malaysia lupa akan rasa sakit yang mereka lalui apabila ikon mereka itu mendukung orang yang tidak mereka berkenan.

Pengampunan itu akan memakan masa, Tony Fernandes. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen