KETUA Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak malam ini selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) berpaling arah.
Pelantikannya adalah satu kejutan kerana ramai menjangkakan Ketua Amanah Perak, Asmuni Awi atau Timbalan Nizar Jamaluddin akan diberi jawatan menteri besar.
Faizal adalah ketua Bersatu negeri dan memenangi kerusi negeri tunggal parti. Amanah menang enam kerusi dan PKR empat.
Secara keseluruhan, termasuk DAP, PH memenangi 29 kerusi negeri di Perak, kurang satu daripada 30 kerusi untuk membentuk majoriti mudah dalam dewan sebanyak 59 kerusi.
Tetapi dua Adun BN bekerjasama dengan PH, memberi calon menteri besar sokongan 31 Adun.
Penyokong PH berkumpul di luar istana Kuala Kangsar sempena majlis angkat sumpah.
Faizal memberitahu akhbar awal hari ini yang majlis presiden PH masih belum meluluskan calon menteri besar.
Telefon bimbit Faizal dan Nizar dimatikan apabila cuba dihubungi untuk bertanya mengenai keputusan. – 12 Mei 2018.
Komen