Jangan jadikan media sosial platform berbalah, buka aib, titah Agong


Sultan Ibrahim bertitah agar rakyat tidak bersikap keterlaluan atau ‘extreme’ terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2024.

YANG Di-pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan rakyat agar tidak mengubah media sosial menjadi platform untuk berbalah dan membuka aib kerana tindakan ini hanya menyumbang kepada perpecahan serta konflik.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ‘extreme’ terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama.

“Jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara yang memalukan, kerana ini semua akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan,” titah Sultan Ibrahim semasa Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat pada majlis tersebut.

Sultan Ibrahim bertitah orang ramai hari ini berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.

Oleh itu Baginda menekankan kepentingan untuk rakyat Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dan memastikan kandungan yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa. – 7 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen