Malaysia kaji semula semua projek pembangunan asing, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

MALAYSIA akan mengkaji semula kontrak perniagaan dengan semua negara demi kepentingannya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Malaysia akan mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara di dunia. Kami akan bebas dikritik dan mengkritik negara lain.

“Kedua, mengenai semua kontrak itu, kami akan mengkaji semula untuk melihat bagaimana ia memihak kepada kita. Kita mahu mendapat faedah daripada kontrak tersebut. Apa pun keputusan yang kami buat akan berdasarkan kajian,” katanya kepada pemberita selepas menamakan menteri bagi tiga teras portfolio Kabinet hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai semakan semula kerajaan mengenai projek yang didanai oleh pihak asing seperti projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur–Singapura Insiatif Jalur dan Laluan China.

Sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya, PH berjanji untuk mengkaji semula kontrak pelaburan China termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Projek yang dibiayai oleh China termasuk projek pelabuhan dan rel utama, dengan Citi Bank menganggarkan Malaysia dijangka menerima sebanyak RM400 bilion pelaburan China dalam tempoh dua dekad akan datang.

Di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, Malaysia menjadi penerima pelaburan langsung luar negara keempat terbesar, menurut Unit Perisikan Ekonomi. Kedudukannya adalah peningkatan dramatik daripada tempat ke-20 pada 2015. – 12 Mei 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen