PKR tak puas hati pelantikan menteri kanan


The Malaysian Insight

PKR tidak berpuas hati dengan pelantikan menteri kanan Kabinet Dr Mahathir Mohamad yang diumumkan hari ini, kata sumber Pakatan Harapan.

Sumber berkata, disebabkan itu sidang media perdana menteri hari ini tidak dihadiri Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan hanya diwakili setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail.

“Mereka tak puas hati kerana kementerian kewangan diberikan kepada Lim Guan Eng, dalam negeri diberikan kepada Muhyiddin Yassin dan pertahanan kepada Mohamad Sabu,” kata sumber kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.

“Mereka mahu sekurang-kurangnya PKR perlu diberikan salah satu jawatan daripada jawatan menteri kanan itu.”

Katanya, PKR turut melobi Saifuddin yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dilantik sebagai menteri dalam negeri.

“Ini menyebabkan sidang media yang seharusnya diadakan pada 1.00 petang ditangguhkan selama tiga jam,” katanya.

Turut diumumkan hari ini, Dr Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri akan tetapi tujuh lagi kementerian yang seharusnya diumumkan Dr Mahathir tidak diumumkan.

Seorang lagi sumber PH berkata, kemarahan PKR berpunca apabila kerusi menteri besar Kedah diberikan kepada Naib Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir.

“PKR mahu kerusi MB Kedah diberikan kepada Johari Abdul daripada PKR, apabila diberikan kepada Mukhriz, mereka mahu Johari diberikan jawatan menteri pertahanan.

“Apabila ini tidak berlaku, PKR tidak berpuas hati dan memboikot sidang media perdana menteri tadi,” kata sumber itu yang tidak mahu dinamakan.  – 25 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen