PADA sidang akhbar pertamanya sebagai menteri kewangan, Lim Guan Eng menolak ke tepi soal etnik dengan menumpukan lebih perhatian kepada usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan mengekalkan program kebajikan sosial.
Semasa sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini, beliau ditanya seorang warganegara China tentang pelantikannya sebagai menteri kewangan dari etnik Cina yang pertama di Malaysia sejak Tan Siew Sin memegang jawatan itu 44 tahun lalu.
Lim Guan Eng berkata: “Saya minta maaf, saya tidak menganggap diri saya seorang Cina, saya seorang rakyat Malaysia.”
“Saya tidak tahu yang ia sudah 44 tahun (tidak ada menteri kewangan dari etnik Cina),” katanya
“Seperti yang saya katakan, sebagai rakyat Malaysia, saya fikir tumpuan kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia dan memastikan rakyat Malaysia tidak ditinggalkan dan juga Tun (Dr Mahathir Mohamad) berkata semasa kempen yang kita mahu mengkaji semula semua kontrak yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.”
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Lim berkata fokus kementerian kewangan adalah untuk memastikan bahawa hak rakyat Malaysia, pekerjaan mereka dan peluang perniagaan dilindungi.
“Saya fikir ia akan menjadi pertimbangan utama saya. Tumpuan akan diberikan dalam membantu mereka yang merasa susah. Saya fikir tumpuan kami adalah untuk menjadikan kehidupan mereka lebih baik.
Beliau menambah bahawa keutamaan lain adalah meneruskan janji PH untuk menghapuskan GST, mengekalkan pembayaran BR1M dan menguruskan harga petrol dengan lebih baik.
“Tetapi saya serahkan perkara ini kepada perdana menteri,” katanya. – 12 Mei, 2018.
Komen