Tiada peruntukan untuk Adun BN, kata MB Johor


The Malaysian Insight

MENTERI besar Johor yang baharu dilantik, Osman Sapian menegaskan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima peruntukan pembangunan kecil daripada kerajaan negeri.

Dalam sidang media pertamanya hari ini, Osman berkata tidak akan “memberikan peluru kepada orang yang menentang” mereka.

“Kenapa nak beri peruntukan? Macam kita beri peluru untuk mereka menyerang kita,” katanya.

Osman mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene hari ini di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan negeri dengan menewaskan BN dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Adun Kempas itu turut memberi jaminan yang pentadbirannya bebas daripada pengaruh Umno dan elemen balas dendam.

“Kenapa cakap saya, kenapa tidak cakap mengenai Tun (Dr Mahathir Mohamad)? Tun pun ‘recycle’ Umno. Saya bukan Umno lagi. Saya kena ikut pimpinan PH.

“Kita juga tidak mahu menjadi kerajaan yang membalas dendam,” katanya kepada pemberita.

Osman, 67, berkata keutamaan kerajaan pimpinannya adalah untuk merealisasikan janji-janji manifesto PH ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut memberi jaminan akan melihat kembali segala perjanjian yang dimeterai kerajaan BN.

“Saya nak tengok dahulu apa projek kerajaan dulu. Kalau ada projek yang tidak begitu ekonomi, kita bawa dalam mesyuarat dan nilaikan.

“Kalau yang guna pakai tidak mendatangkan manfaat kepada negeri kita perlu hentikan. Kalau projek bagus dan tidak beri kesan kewangan teruk kepada negeri kenapa tidak kita teruskan. Kalau kita buat tindakan drastik pelabur pun takut,” katanya lagi. – 12 Mei 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen