PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau bertemu dengan Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar.
“Kami bertemu dengan ramai orang untuk mendapatkan pendapat tentang pandangan mereka, untuk mencari apa yang bermanfaat bagi kami dan sebaliknya, dan kami akan bertindak dengan sewajarnya,” katanya hari ini selepas menamakan menteri Pakatan Harapan (PH) bagi tiga portfolio Kabinet.
Pertemuan dengan Taib, yang berlangsung di Kuala Lumpur, turut dihadiri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang kini berada di majlis penasihat kerajaan baru yang ditugaskan untuk pelopor pembaharuan.
Perbincangan itu dilaporkan berkisar mengenai rancangan untuk membentuk gabungan kerajaan negeri dengan PH.
Dr Mahathir tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan beberapa kali oleh wartawan mengenai penentangan daripada pemimpin PH Sarawak, seperti Baru Bian dan Chong Chieng Jen, terhadap sebarang rancangan lompat parti beramai-ramai yang melibatkan wakil rakyat BN.
Baru dan Chong, serta beberapa ketua kumpulan tempatan yang lain, mengeca, sebarang rancangan seperti itu, dengan mengatakan ia sama seperti menerima “rejim korup” dan pengkhianatan kepada pengundi.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata PH terbuka kepada “lompat parti berseorangan” oleh ahli Parlimen BN, sambil menambah mereka perlu disaring.
“Setiap kes akan dikaji mengenai penglibatan mereka dalam kerajaan terdahulu. Ada banyak kemungkinan tetapi saya tidak dapat menentukan kemungkinan pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata Kabinet PH perlu mempunyai menteri dari Sabah dan Sarawak.
“Kami ada tempat untuk Sabah dan Sarawak. Dan sekali lagi bagi Sabah dan Sarawak, kita perlu mengetahui pendirian mereka,” katanya.
PBB, komponen BN yang dominan di Sarawak menguasai 13 kerusi Parlimen diikuti Parti Rakyat Sarawak (3), Parti Demokratik Progresif (2) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (1), menjadikan jumlah ahli Parlimen BN Sarawak seramai 19 orang.
PH Sarawak mengawal 10 kerusi, dengan seorang calon bebas Larry Sng yang menunjukkan minat menyertai PH.
Parti-parti pembangkang Sarawak sekian lama menentang pemerintahan BN, mendakwa pembangunan negeri itu tidak berkembang kerana rasuah. Mereka juga menganggap Taib, yang merupakan ketua menteri negeri selama 33 tahun, salah seorang ahli politik paling korup di Malaysia. – 12 Mei 2018.
Komen