Laporan Ketua Audit berhubung 1MDB bukan lagi bawah OSA, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad menggunakan kuasanya selaku perdana menteri untuk mengubah status Akta Rahsia Rasmi (OSA) Laporan Ketua Audit mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau telah mengarahkan polis berbuat demikian dan seterusnya menghantar laporan tersebut kepada beliau.

“Saya telah arahkan polis untuk menghapuskan larangan yang diletakkan ke atasnya (laporan Ketua Audit) di bawah OSA.

“Mereka seterusnya akan menghantar laporan tersebut dan saya akan kaji,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada sidang media hari ini.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata beliau akan menghubungi negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland yang melakukan siasatan ke atas 1MDB, bagi mendapatkan gambaran lengkap berkenaan situasi tersebut.

“Kami mahu dapatkan semua data tentang apa yang berlaku terhadap 1MDB,” katanya sambil menambah yang mahu perkara itu diselesaikan secepat mungkin. – 12 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen