BEKAS perdana menteri Najib Razak enggan mengakui bahawa beliau merupakan punca parti Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihan raya 9 Mei.
Sebaliknya, beliau berkata prestasi buruk berkenaan disebabkan parti berkenaan tewas dalam perang persepsi.
“Mungkin ini memberi peluang untuk memperbaiki apa saja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan walaupun mungkin ini banyak berkisar kepada soal persepsi daripada realiti.
“Tetapi itulah the name of the game (permainan) dalam politik. Maknanya siapa yang menang dalam perang persepsi dia mungkin dapat menguasai sokongan rakyat,” katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden Umno dan juga pengerusi BN.
BN yang dipimpinnya hanya berjaya meraih 79 daripada 222 kerusi parlimen dan Umno hanya mendapat 54 kerusi.
Pakatan Harapan pula mendapat majoriti kerusi 113 kerusi, sebahagian besarnya hasil kempen pengerusi gabungan parti itu, Dr Mahathir Mohamad yang giat menimbulkan mengenai kes salah laku dan penyelewengan didakwa melibatkan Najib.
Paling utama adalah melibatkan dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun bekas perdana menteri itu dan penyelewengan dalam pentadbiran 1Malaysia Development Berhad.
Najib telah menafikan segala tuduhan tersebut, namun satu siasatan semula dijangka akan dijalankan dalam pentadbiran baharu bawah Dr Mahathir.
Najib juga sudahpun disekat daripada meninggalkan negara. – 12 Mei, 2018.
Komen